PRUMillion Med Active, tawaran baharu Prudential kurangkan kos insurans pelanggan | DagangNews Skip to main content

PRUMillion Med Active, tawaran baharu Prudential kurangkan kos insurans pelanggan

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Julai - Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB), melancarkan PRUMillion Med Active dalam mengurangkan kos insurans perubatan pelanggan melalui gaya hidup sihat dan menggalakkan pelanggan membuat pilihan bijak di samping mengekalkan perlindungan penuh tanpa kompromi. 

 

Antara faktor peningkatan kos insurans adalah harga inflasi bahan perubatan meningkat dengan ketara, lebih tinggi berbanding purata global, kata PAMB dalam kenyataan media di sini hari ini. 

 

Faktor utama menyumbang kepada kesulitan itu adalah peningkatan harga bekalan hospital seperti ubat-ubatan dan teknologi perubatan canggih termasuk penggunaan perkhidmatan kesihatan berikutan prosedur perubatan elektif selepas pandemik COVID-19.

 

Ketua Pegawai Pelanggan PAMB, Mily Liang berkata, syarikat itu telah menyaksikan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk di kalangan pelanggan lebih muda iaitu sebanyak 23% pada 2023 berbanding tahun sebelumnya.

 

Di samping peningkatan penyakit, terdapat kenaikan dua digit dalam jumlah bayaran perubatan bagi penyakit teratas pada 2023 berbanding tahun sebelumnya. 

 

“Tuntutan bayaran perubatan dikemukan oleh pemegang polisi PAMB, termasuk penambahan 25% bagi penyakit jantung, 18% bagi penyakit kronik, 16% bagi kanser payudara dan 10% bagi katarak,” ujar beliau. 

 

"Berdepan dengan risiko ini, menguruskan kos penjagaan kesihatan dengan menggunakan duit poket sendiri adalah sangat mencabar bagi ramai yang tidak mempunyai perlindungan insurans.

 

“Sementara itu, mereka yang mempunyai polisi insurans ingin memperoleh nilai tambahan bagi menguruskan perbelanjaan bulanan terkesan dengan kenaikan kos sara hidup," kata Mily.  

 

alt

 

 

Ketua Pegawai Kewangan di PAMB, Ankur Bassi menyatakan PRUMillion Med Active akan membantu pelanggan menikmati rangkaian penuh perkhidmatan perubatan diperlukan dan mengekalkan kos insurans perubatan mereka.


Ditawarkan kepada pelanggan dari pranatal sehingga 69 tahun, PRUMillion Med Active memberi ganjaran kepada mereka yang kekal sihat dan membuat keputusan yang bijak berkaitan prosedur kesihatan.

 

PAMB juga akan memberi kuasa kepada pelanggan menguruskan kos insurans perubatan dengan memutuskan masa untuk membuat tuntutan atau memilih pembekal penjagaan kesihatan yang lebih kos efektif. 

 

Sementara itu, insentif tersebut menawarkan perlindungan komprehensif termasuk ujian genomik menentukan rawatan sesuai apabila didiagnos dengan kanser dan rawatan penjagaan susulan. 

 

Dengan menambah Active Booster, pelanggan diberi ganjaran sehingga RM1,000 setahun untuk penjagaan pencegahan sekiranya tiada tuntutan dibuat tambahnya.- DagangNews.com