KUALA LUMPUR 22 Okt - Kelab Papan Luncur Patriot (PSC) mempelawa golongan remaja berusia di bawah umur 24 tahun untuk menyertai Klinik dan Bengkel Papan Luncur pada 29 Oktober ini.
Setiausaha PSC, Hairulzain Fauzi berkata, penyertaan adalah percuma dengan hanya mengimbas Kod QR untuk mendaftar diri.
"Melalui program yang dijalankan ini, ia dapat mempromosi, memperluaskan lagi industri sukan papan luncur dan di samping dapat menghasilkan impak positif kepada komuniti serta semua golongan masyarakat," katanya di sini hari ini.
Klinik dan bengkel papan luncur itu akan diadakan di Taman Papan Lunur, Kompleks Sukan Bukit Kiara bermula 8 pagi hingga 3 petang pada 29 Oktober.
PSC telah dipilih oleh Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negara dan Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JBSWPKL) untuk bekerjasama menganjurkan Program Aspirasi Gaya Hidup Rakan Muda 2022 (Klinik dan Bengkel Papan Luncur).
Kelab ini juga yang bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti dan program sukan papan luncur yang dijalankan setiap tahun di dalam mahupun luar negara.
"Peserta yang mengikuti sehingga tamat program ini pada sebelah petang 29 Oktober nanti, akan menerima sijil penyertaan," kata Hairulzain. - DagangNews.com