PTDI meterai MoU dengan AIROD, SME Aerospace untuk pasarkan pesawat N219 di Malaysia | DagangNews Skip to main content

PTDI meterai MoU dengan AIROD, SME Aerospace untuk pasarkan pesawat N219 di Malaysia

Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto (dua dari kanan) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara PT Dirgantara dengan AIROD dan SME Aerospace.
Oleh Zaki Salleh

LANGKAWI 24 Mei - Malaysia berpotensi menjadi pengguna pesawat pengangkut ringan N219 apabila pengeluarnya, PT Dirgantara Indonesia (PTDI) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat tempatan.

 

Ia melibatkan kerjasama dengan Airod Sdn. Bhd. (AIROD) dan SME Aerospace yang dimeterai pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 di sini.

 

MoU dengan AIROD mencakupi kerjasama pemasaran serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat N219 di Malaysia.

 

Bagi kerjasama dengan SME Aerospace pula, ia membabitkan bidang perniagaan aerostruktur.

 

Direktur Utama PTDI, Gita Amperiawan berkata, kerjasama tersebut bakal memacu peluang syarikat untuk terbabit dalam industri terbang di sini.

Pesawat N219 direka dan dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera Indonesia. ​
Pesawat N219 direka dan dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera Indonesia.

 

“PTDI berbesar hati bekerjasama dengan AIROD untuk menawarkan perkhidmatan terbaik bagi pesawat N219.

 

"MoU ini juga menandakan fasa penting pada kami untuk N219 memasuki pasaran global,” ujarnya.

 

Terdahulu, majlis menandatangani MoU tersebut dimeterai antara Gita Amperiawan dengan Ketua Pegawai Eksekutif AIROD, Mejar Jeneral (B) Dato' Ismail Ibrahim.

 

MoU dengan SME Aerospace pula disempurnakan beliau dengan Presiden National Aerospace & Defense Industries (NADI), Brigadier Jeneral (B) Dato' Abdul Rahim Abdul Rahman.

 

Majlis turut disaksikan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto.

 

Airod yang berpangkalan di Subang, Selangor melaksanakan perkhidmatan MRO kepada pesawat tentera dan komersial dari 33 negara.

 

N219 ialah pesawat yang direka dan dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera Indonesia sesuai dengan rupa bentuk geografi serta keperluan bagi penerbangan jarak dekat.

 

Ia dibangunkan berasaskan pesawat CASA C212 Aviocar buatan Sepanyol.

 

Pesawat ini boleh membawa 19 penumpang selain digunakan untuk pelbagai tugas seperti mengangkut tentera, kargo, ambulans udara serta operasi mencari dan menyelamat. -DagangNews.com