PTMP : Anak syarikat Gamuda ‘pegang’ pembinaan pengangkutan di Pulau A | DagangNews Skip to main content

PTMP : Anak syarikat Gamuda ‘pegang’ pembinaan pengangkutan di Pulau A

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 25 Mac - Anak syarikat Gamuda Berhad bakal ‘memikul’ tanggungjawab untuk membangunkan sistem pengangkutan bersepadu atau Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) di Pulau A. 

 

Perkembangan itu dipersetujui oleh kerajaan negeri dan syarikat yang menyaksikan 60% kepentingannya dimiliki oleh Gamuda, SRS Consortium Sdn Bhd selepas beberapa siri rundingan.

 

Menurut makluman Gamuda di Bursa Malaysia, semua komponen di bawah projek pembangunan Pulau A akan dilaksanakan menerusi model pembangunan bersama dengan kerajaan negeri.

 

Jelasnya, syarikat pemaju projek boleh dibentuk antara SRS dan entiti yang dilantik oleh kerajaan negeri.

 

“Disebabkan komponen-komponen ini ditanggung sepenuhnya oleh SRS, pelaksanaan komponen-komponen ini tidak lagi dilakukan di bawah model rakan penyampaian projek (PDP) di bawah Perjanjian Induk. 

 

“Perjanjian tambahan kepada Perjanjian Induk akan dijalankan untuk melaksanakan perubahan tersebut.

 

"Semua komponen lain yang terdapat dalam Perjanjian Induk akan tetap berada di bawah model PDP,” jelas Gamuda. 

 

Menerusi makluman sama, kerajaan negeri dikatakan telah menerima syarat-syarat pembangunan projek Pulau A pada hari ini.

 

Sementara itu, pemaju projek yang telah dinamakan oleh kerajaan negeri, Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd adalah sebahagian daripada hak tunggal, eksklusif dan penuh untuk melaksanakan projek pembangunan di Pulau A.

 

Gamuda akan membiayai bahagiannya di dalam syarikat Pemaju Projek dan syarikat usaha sama kontraktor pembinaan atau turnkey contractor (TC) melalui dana dan pinjaman bank yang dijana secara dalaman, katanya. - DagangNews.com