Public Gold sasar 30 mesin ATM emas di cawangan Mydin seluruh negara menjelang pertengahan 2024 | DagangNews Skip to main content

Public Gold sasar 30 mesin ATM emas di cawangan Mydin seluruh negara menjelang pertengahan 2024

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov - Public Gold menjalin kerjasama dengan pemborong dan peruncit, Mydin untuk meningkatkan jumlah mesin ATM yang mengeluarkan emas di cawangan Mydin di seluruh negara, yang mana menyasarkan jumlah keseluruhan 30 unit menjelang pertengahan 2024. 

 

Pelan pengembangan ini dibuat seiring dengan permintaan yang semakin meningkat untuk produk emas fizikal, dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Public Gold melihat kerjasama ini penting, untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki emas sebagai simpanan jangka panjang. 

 

Mesin ATM emas yang menerima pengiktirafan Malaysia’s Book of Records itu menawarkan kemudahan lebih besar kepada pelanggannya yang terdiri daripada penduduk tempatan, ekspatriat, serta pelancong, untuk membeli emas pada bila-bila masa dengan hanya menekan satu butang.

 

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold, Datuk Louis Ng berkata, berdasarkan kajian terbaru mengenai pasaran emas Malaysia, 70% masyarakat Islam di Malaysia memilih untuk melabur dalam dinar emas, manakala baki 30% jongkong emas. 

 

Katanya, ia terutamanya kerana dinar emas adalah patuh syariah dan digunakan secara meluas sebagai mata wang dalam negara Islam tertentu. 

 

"Oleh itu, mereka mempunyai nilai kutipan dan pelaburan yang lebih besar di kalangan umat Islam," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

 

public gold

 

 

Menurut Ng, matlamat utama menubuhkan mesin ATM emas di seluruh negara, adalah untuk menawarkan pengguna akses mudah kepada produk emas mereka.

 

Katanya, ia menggalakkan tabiat menabung yang baik dan mewujudkan budaya sihat dalam kalangan penduduk untuk menyimpan emas fizikal sebagai sebahagian daripada usaha pemeliharaan kekayaan mereka. 

 

 

public gold

 

 

"Sebagai sebuah syarikat tempatan Malaysia, kami sedang menyelaraskan diri kami dengan objektif kerajaaan untuk membina negara yang lebih kaya, melalui produk emas fizikal kami," katanya.

 

Sebagai permulaan, Public Gold menyediakan lima unit mesin ATM emas di Mydin USJ, Subang Jaya; Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Mydin Pelangi Indah dan Mydin Mutiara Rini di Johor, serta Mydin Tunjong, Kelantan. 

 

Melangkah ke hadapan, Public Gold akan menyediakan tiga unit mesin ATM emas di Mydin Seremban 2, Mydin Senawang, Negeri Sembilan, dan Mydin Manjoi, Perak pada Disember 2023. - DagangNews.com