Public Investment jangka kontrak Vestigo Petroleum sumbang pendapatan sehingga RM90 juta kepada Dayang Enterprise | DagangNews Skip to main content

Public Investment jangka kontrak Vestigo Petroleum sumbang pendapatan sehingga RM90 juta kepada Dayang Enterprise

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mac - Public Investment Bank Research menjangkakan projek penyelenggaraan Vestigo Petroleum Sdn. Bhd. akan menyumbang pendapatan antara RM60 juta hingga RM90 juta kepada Dayang Enterprise Holdings Bhd.

 

Katanya, meskipun nilai sebenar projek itu tidak didedahkan namun anggaran kasar dapat dibuat berdasarkan kepada tempahan kerja yang diminta oleh Vestigo pada harga tetap. 

 

Firma penyelidkan itu melihat, pendapatan kumpulan terus meningkat sejak 2QFY22 selaras dengan peningkatan aktiviti selepas musim tengkujuh.

 

"Kontrak baharu itu memberi gambaran bahawa sektor minyak dan gas sedang mencatatkan pemulihan yang positif berbanding pada 2021.

 

"Kerja-kerja itu juga membolehkan Dayang Enterprise meningkatkan penggunaan kapal-kapalnya dan meningkatkan margin keuntungan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, Dayang Enterprise berjaya mendapatkan projek untuk kerja-kerja penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian untuk Vestigo Petroleum bermula 25 Februari 2022 hingga 16 Julai 2023, namun nilai kontrak tersebut tidak didedahkan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kontrak pertama Dayang Enterprise untuk FY22 itu membantu kumpulan itu mengekalkan baki tempahannya sebanyak RM2 bilion dengan pendapatan jelas untuk tempoh melebihi dua tahun.

 

"Kami percaya aktiviti minyak dan gas akan menjadi lebih signifikan pada tahun ini kerana kebanyakan syarikat utama sedang mempercepatkan kerja yang tertangguh pada 2021," katanya.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan mengekalkan saranan 'outperform' untuk saham Dayang Enterprise pada harga sasaran (TP) RM1.15 selain mengekalkan unjuran pendapatan pada kadar RM200 juta setahun.

 

"Kami melihat pendapatan kumpulan akan bertambah baik didorong dengan peningkatan kapasiti tenaga kerja selain tiada lagi tempoh kuarantin wajib 14 hari dikenakan oleh kerajaan," katanya. - DagangNews.com