KUALA LUMPUR 22 Feb - Public Investment Bank Research menilai langkah AirAsia X Bhd. untuk melaksanakan terbitan hak lebih kecil sebagai positif, justeru, mengekalkan pandangan 'outperform'.
Harga sasarannya juga kekal tidak berubah pada RM1.30 sesaham.
Semalam, syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh itu mengumumkan terbitan hak satu untuk satu dan terbitan khas untuk mengumpul sejumlah RM166 juta.
Terbitan hak satu untuk satu daripada 414 juta saham bernilai 28 sen sesaham adalah untuk mengumpul RM116 juta dengan terbitan khas bernilai sama untuk mengumpul RM50 juta dengan semua kelulusan telah diperolehi untuk pengumpulan dana ini.
Sebelum ini, AirAsia X telah mendapat kelulusan pemegang saham untuk terbitan hak lebih besar bagi mengumpul sehingga RM300 juta dan terbitan khas RM200 juta sebagai sebahagian daripada skim penstrukturan semulanya.
Baca : AirAsia X umum terbitan hak lebih kecil kumpul RM166 juta
Dalam nota kajian hari ini, penganalisis Public Investment, Denny Oh berkata, ia adalah jumlah minimum yang mahu dikumpul bagi melaksanakan pelan pemulihan kumpulan.
Katanya, walaupun lebih banyak (pengumpulan dana) adalah dialu-alukan, tetapi langkah tesebut membolehkan kumpulan memulakan operasi seterusnya.
"Kami masih melihat perkembangan ini secara positif kerana ia bermakna pengurangan pencairan bagi pemegang saham sedia ada memandangkan pelan sebelum ini adalah 9 untuk 5 pada indikatif 40 sen sesaham.
"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran pendapatan terhadap AirAsia X, dengan jumlah yang lebih rendah yang diperoleh dijangka tidak menjejaskan secara material model perniagaan kargo-penumpang hibridnya," katanya.
Pada suku pertama berakhir 31 Disember 2021, AirAsia X terus mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM11.94 juta di belakang hasil sebanyak RM119.31 juta.
Menurut beliau, meskipun syarikat penerbangan ini masih merekodkan kerugian pada suku tersebut, namun kerugian bersih terasnya semakin mengecil kepada RM11.3 juta dengan menerbangkan 3 pesawat untuk kargo dan pajakan.
Tambahnya, AirAsia X juga mahu meningkatkan perniagaan kargo dengan sasaran 7 pesawat kembali beroperasi sepenuhnya pada akhir suku semasa manakala 11 lagi menjelang akhir 2022.
"Australia semalam (21 Februari 2022) baru sahaja membuka sempadannya kepada semua pelancong yang sudah divaksinasi.
"Jadi ini akan menyaksikan hasil kargo dan pajakan dijangka berkembang kerana lebih banyak pesawat kembali beroperasi didorong hasil daripada penumpang penerbangan apabila pasaran antarabangsa mula dibuka," jelasnya.
Setakat 12.24 tengah hari ini, saham AirAsia X kekal tidak berubah pada 60 sen dengan 624,900 saham diniagakan. - DagangNews.com