Public Investment semak turun penarafan Poh Huat kepada 'neutral'  | DagangNews Skip to main content

Public Investment semak turun penarafan Poh Huat kepada 'neutral' 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Sept - Public Investment Bank Research menyemak turun penarafan Poh Huat Resources Holdings Bhd. kepada 'neutral' berbanding 'outperform' dengan harga sasaran dikurangkan kepada RM1.50 sesaham. 

 

Menurutnya, Poh Huat mungkin mendapat manfaat daripada lencongan perdagangan akibat perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, tetapi kesan positif itu tidak bertahan lama.

 

Katanya, ia disebabkan persekitaran kadar faedah yang meningkat mengakibatkan permintaan yang lebih lemah berikutan kelembapan dalam pasaran perumahan dan perbelanjaan pengguna yang lebih berhemat.

 

"Meskipun kami menaikkan unjuran bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2022 (FY22) sebanyak 28% dengan mengambil kecekapan operasi yang lebih baik, tetapi kami mengurangkan unjuran pendapatan bagi FY23-FY24 sebanyak purata 10%.

 

"Ini berikutan permintaan yang lebih lemah disebabkan kenaikan kadar faedah. Malah, kami juga percaya kekuatan margin mungkin tidak berdaya tahan menjelang FY23-FY24," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Keuntungan bersih utama syarikat perabot itu bagi suku ketiga berakhir 31 Julai 2022 meningkat 64.2% tahun ke tahun kepada RM22 juta dipacu sumbangan yang lebih kukuh menerusi operasi di Malaysia.

 

Selepas menyelaraskan item bukan teras, keuntungan bukan teras kumpulan berjumlah RM20.6 juta.

 

"Bagi kumulatif sembilan bulan, keuntungan bersih terasnya adalah melebihi unjuran kami dan konsensus, masing-masing merangkumi 97% dan 91%," tambahnya.

 

Setakat 12.10 tengah hari, harga sahamnya susut 1 sen atau 0.72% kepada RM1.37 sesaham dengan 177,700 saham diniagakan. - DagangNews.com