KUALA LUMPUR 31 Jan - Public Mutual Bhd, anak syarikat milik penuh Public Bank, mengumumkan agihan berjumlah lebih RM65 juta untuk 11 dana bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat unit amanah swasta terbesar di Malaysia itu mengumumkan agihan kasar untuk Public Enhanced Bond Fund (4.25 sen seunit), Public Money Market Fund – Class A (2.16 sen seunit), Public Index Fund (1.0 sen seunit), Public Islamic Emerging Opportunities Fund (0.8 sen seunit), Public Emerging Opportunities Fund (0.6 sen seunit) dan Public India-Global Equity Fund (0.5 sen seunit).
Pengurus unit amanah itu juga mengisytiharkan agihan untuk Public Islamic Optimal Growth Fund (0.5 sen seunit), Public Islamic Global Balanced Fund (0.5 sen seunit), Public e-Sukuk Fund (0.3 sen seunit), PB Dividend Builder Equity Fund (1.0 sen seunit), dan PB Asia Consumer Sector Fund (0.5 sen seunit).
Public Mutual, yang menguruskan lebih 170 dana, juga merupakan penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) yang diluluskan dan menguruskan sembilan dana PRS.
Syarikat itu berkata saiz dananya berjumlah RM104 bilion pada penghujung Disember 2021.
"Sebagai anak syarikat milik penuh Public Bank (PB), kami menikmati sokongan padu daripada syarikat induk kami dan Jenama PB yang ditubuhkan.
"Kami kekal sebagai jenama unit amanah "top-of-mind" di Malaysia dengan kemenangan di dalam Anugerah Platinum Jenama Dipercayai Reader's Digest selama 12 tahun berturut-turut selepas memenangi anugerah Emas dari 2006 – 2009 serta anugerah The BrandLaureate selama tiga belas tahun berturut-turut.
"Ia adalah pengesahan kehadiran jenama kami yang kuku dengan rangkaian pengedaran yang mantap melalui perunding unit amanah (UTC) yang berdedikasi dan dinamik, yang merupakan paling produktif dalam keseluruhan industri unit amanah swasta." katanya.
Public Mutual disokong oleh 31 pusat perkhidmatan pelanggan/cawangan di seluruh negara dengan lebih daripada 260 cawangan Public Bank, yang juga berfungsi sebagai pusat pengumpulannya.
Ia menguruskan 164 dana unit amanah, 4 dana borong dan 9 dana PRS dengan jumlah nilai aset bersih berjumlah RM104 bilion. -DagangNews.com