Public Packages catat untung bersih RM9.1 juta pada 2QFY24 didorong aktiviti pelaburan, kawalan kos | DagangNews Skip to main content

Public Packages catat untung bersih RM9.1 juta pada 2QFY24 didorong aktiviti pelaburan, kawalan kos

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Penyedia rumusan pembungkusan, Public Packages Holdings Bhd mencatatkan untung bersih RM9.1 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) berbanding RM8.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong aktiviti pelaburan serta kawalan kos berterusan.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan bagaimanapun susut sedikit kepada RM48.4 juta berbanding RM49.9 juta pada 2QFY23.

 

"Penyusutan hasil itu adalah disebabkan prestasi jualan yang lebih rendah disebabkan terutamanya permintaan pelanggan yang berkurangan dan campuran produk yang tidak menggalakkan," katanya.

 

Untung bersih kumpulan itu bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (6MFY24) meningkat kepada RM19.8 juta berbanding RM17.4 juta pada tahun sebelumnya bagaimanapun hasil bagi tempoh itu susut kepada RM98.7 juta bebranding RM103.2 juta.

 

"Walaupun mencatatkan penurunan hasil, untung kasar kumpulan sebanyak RM1.75 juta atau 7.54% kepada RM24.9 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

 

"Prestasi yang lebih baik disebabkan lonjakan dalam pendapatan lain yang kebanyakannya diperoleh daripada pendapatan dividen yang diterima daripada aktiviti pelaburan dan langkah kawalan kos yang berterusan.

 

"Selain itu, kumpulan itu juga mendapat manfaat daripada bahagian keuntungan daripada syarikat usaha samanya," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu akan terus memanfaatkan usaha pemasarannya dan melaksanakan strategi pasarannya untuk mengukuhkan kedudukan pasaran.

 

Kumpulan juga akan terus meningkatkan kecekapan dan keberkesanan operasinya di tengah-tengah tekanan inflasi. - DagangNews.com