PublicInvest beri nilai wajar 40 sen terhadap Cosmos Technology | DagangNews Skip to main content

PublicInvest beri nilai wajar 40 sen terhadap Cosmos Technology

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Sept - Public Investment Bank Research (PublicInvest) memberi nilai wajar sebanyak 40 sen sesaham kepada Cosmos Technology International Bhd. (CTIB) yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, 6 Oktober ini. 

 

Penilaian itu berdasarkan gandaan nilai perusahaan (PE) 12 kali kepada pendapatan sesaham 2023 sebanyak 3.4 sen. 

 

Tawaran awam permulaan (IPO) itu dijangka mengumpul sehingga RM22.44 juta daripada terbitan 64.1 juta saham baharu.

 

Menurut firma itu, CTIB bercadang untuk memperuntukkan sebanyak RM10 juta daripada hasil IPO untuk membiayai pembelian bangunan baharu. 

 

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan untuk menyatukan operasi dua anak syarikat miliknya, Cosmos Instruments Sdn. Bhd. dan Marc Conleth Industries Sdn. Bhd.(MCI) di bawah satu bumbung.

 

"CTIB juga bercadang untuk berpindah ke bangunan baharu ini setelah selesai pemindahan hak milik dan pengubahsuaian, yang dijadualkan pada suku keempat 2022.

 

"Selain itu, kumpulan juga akan mendapatkan lesen dan permit baharu bagi membolehkannya menjalankan aktiviti perniagaannya di lokasi baharu ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Cosmos sasar jana RM22.44 juta daripada penyenaraian di Pasaran ACE, 6 Oktober ini

 

Pada 14 Januari lalu, Cosmos Instruments memeterai perjanjian jual beli sebidang tanah pajakan terdiri daripada kilang, bangunan pejabat dan gudang melibatkan pertimbangan pembelian sebanyak RM11.8 juta.

 

MCI bercadang untuk memindahkan operasi pembuatan dan pengeluaran ke bangunan baharu ini bagi mempermudahkan segala proses pentadbiran dan kewangan dalaman manakala Cosmos Instruments pula bercadang untuk membuka galeri produk dan pusat penyelenggaraan dan perkhidmatan serta menyimpan inventori kawalan bendalir.

 

Baru-baru ini, Pengarah Urusan CTIB, Datuk Chong Toh Wee berkata, pembelian bangunan baharu itu akan diselesaikan menjelang akhir tahun ini dan mula beroperasi dalam tempoh 24 bulan selepas penyenaraian.

 

Di samping itu, sebahagian hasil IPO itu sebanyak RM3.5 juta akan digunakan bagi pembelian jentera baharu manakala RM1.5 juta untuk pembayaran semula pinjaman, RM4.44 juta sebagai modal kerja dan RM3 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.

 

Penyedia penyelesaian teknologi air bersepadu itu terlibat dalam pengedaran dan perkhidmatan instrumentasi produk kawalan bendalir dan pembuatan produk logam fabrikasi untuk aplikasi perindustrian yang digunakan dalam industri air, air sisa serta minyak dan gas.

 

Pada harga terbitan 35 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 256.5 juta saham, CTIB akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM89.78 juta selepas penyenaraiannya.

 

Bagi tahun kewangan 2022 (FY22), kumpulan merekodkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 45.7% terutamanya menerusi segmen pembuatan (91.8%) berikutan tempahan yang kukuh bagi produk fabrikasi logam dan pelanggan minyak dan gas (O&G) di tengah-tengah pemulihan harga minyak.

 

PublicInvest menjangkakan pendapatan kumpulan pada masa hadapan akan terus didominasi segmen pembuatan (kira-kira 62%) terutamanya jualan berkaitan produk O&G.

 

"Ini memandangkan tahap aktiviti sektor yang lebih tinggi didorong harga minyak semasa yang menggalakkan serta pengembangan dalam kapasiti pengeluaran berikutan pembelian mesin baharu," katanya. - DagangNews.com