KUALA LUMPUR 14 Sept - Penyedia penyelesaian teknologi air bersepadu, Cosmos Technology International Bhd. menyasarkan untuk mengumpul dana sehingga RM22.44 juta menerusi penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia dijangka 6 Oktober ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Chong Toh Wee berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM10 juta akan digunakan untuk membeli bangunan baharu (terdiri daripada kilang, pejabat dan gudang) di Balakong, Selangor.
Selebihnya pula, katanya, sebanyak RM3.5 juta akan digunakan bagi pembelian jentera baharu manakala RM1.5 juta untuk pembayaran semula pinjaman, RM4.44 juta sebagai modal kerja dan RM3 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.
"Tahun 2022 adalah penting bagi Cosmos kerana kami memulakan fasa seterusnya dalam perjalanan kami – penyenaraian di Pasaran ACE.
"Langkah ini membolehkan kami meningkatkan imej korporat dalam kalangan pelanggan, pembekal, pekerja dan pihak berkepentingan kami yang lain, serta menyediakan pembiayaan untuk pengembangan perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian sempena pelancaran prospektus kumpulan bagi tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraiannya di Bursa Malaysia hari ini.
Cosmos, melalui anak syarikatnya merupakan penyedia penyelesaian teknologi air bersepadu yang terlibat terutamanya dalam pengedaran dan perkhidmatan instrumentasi produk kawalan bendalir dan pembuatan produk logam fabrikasi untuk aplikasi industri yang digunakan dalam air, air sisa dan industri minyak dan gas (O&G).
Ia mula disenaraikan di Pasaran LEAP pada 9 Mac 2020 dan kemudiannya dinyahsenarai secara sukarela pada 10 November 2021 untuk memudahkan penyenaraiannya di Pasaran ACE.
Ini menjadikan Cosmos sebagai syarikat pertama yang disenaraikan di Pasaran ACE daripada Pasaran LEAP setelah selesai melaksanakan penyenaraian tersebut.
Ditunjangi dua anak syarikat, iaitu Cosmos Instruments Sdn. Bhd., yang merupakan rakan kongsi sah dan rakan kongsi penyelesaian serta rakan kongsi rasmi untuk dua jenama utama produk kawalan bendalir dan telemetri, dan Marc Conleth Industries Sdn. Bhd., yang telah mempamerkan rekod prestasi yang baik dalam pembuatan bingkai logam untuk penapis shaker bagi industri O&G.
IPO syarikat menyaksikan terbitan awam sebanyak 64,125,300 saham biasa baharu pada harga IPO 35 sen sesaham.
Daripada jumlah itu, sebanyak 12,825,000 saham akan disediakan untuk permohonan orang ramai melalui pengundian manakala 7,880,000 saham akan diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Sebahagian 11,357,600 saham akan diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 32,062,700 saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Selepas penyenaraian di Pasaran ACE, Cosmos akan mempunyai anggaran permodalan pasaran sebanyak RM89.775 juta, berdasarkan harga terbitan 35 sen sesaham dan modal saham syarikat yang diperbesarkan sebanyak 256.5 juta saham.
Mercury Securities Sdn. Bhd. merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi langkah IPO tersebut. - DagangNews.com