PublicInvest jangka Matrix Concepts raih hasil lebih tinggi daripada pelupusan Menara Syariah di Jakarta, Indonesia | DagangNews Skip to main content

PublicInvest jangka Matrix Concepts raih hasil lebih tinggi daripada pelupusan Menara Syariah di Jakarta, Indonesia

Menara Syariah yang merupakan fasa pertama projek Daerah Kewangan Islam di Pantai Indah Kapuk 2 (PIK 2) [Foto FB PIK2]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - Public Investment Bank Research (PublicInvest) menjangkakan rancangan Matrix Concepts Holdings Berhad melupuskan Menara Syariah di Jakarta, Indonesia menjana hasil yang lebih tinggi daripada anggaran awal kumpulan tersebut.

 

“Setelah selesai dibina, kumpulan itu sedang mempertimbangkan sama ada melupuskan satu blok menara tersebut atau menyimpan kedua-duanya untuk menjana pendapatan berulang.

 

“Kami difahamkan bahawa Matrix Concepts menjangkakan sekurang-kurangnya 20% margin jika ia melupuskan kedua-dua menara berkenaan.

 

“Kini, kami percaya nilainya mungkin lebih tinggi, memandangkan nilai tanah sahaja sudah diurusniagakan tiga kali ganda daripada kos asalnya, di mana pelaburan awal Matrix Concepts sebanyak AS$31.75 juta untuk 30% kepentingan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

PublicInvest berkata Menara Syariah merupakan fasa pertama penyertaan kumpulan terbabit dalam membangunkan Daerah Kewangan Islam di Pantai Indah Kapuk 2 (PIK 2) di bawah usaha sama pertamanya di Jakarta yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

 

Kumpulan mula mencadangkan projek itu pada 2018 apabila ia melabur untuk membangunkan sebidang tanah 3.6 hektar di PIK 2, yang dibangunkan oleh PT Fin Centerindo Satu, iaitu syarikat usaha sama antara Matrix Concepts (30% kepentingan) dan PT Bangun Kosambi Sukses (40% kepentingan).

 

Syarikat usaha sama itu dikawal oleh Kumpulan Agung Sedayu dan Kumpulan Salim, dan PT Fin Centerindo Dua (30% kepentingan), yang merupakan konglomerat yang mantap di Indonesia.

 

Susulan lawatan ke PIK2 baru-baru ini, firma penyelidikan itu berkata ia kagum dengan pelan induk projek tersebut, yang disebut-sebut sebagai metropolis tepi laut pertama di Indonesia.

 

“Pemaju induk, kami difahamkan, telah melabur untuk menyiapkan infrastruktur pembangunan 5000 hektar, yang dihubungkan dengan baik oleh lebuh raya dan infrastruktur pengangkutan awam, menunjukkan keyakinannya terhadap PIK2, meneruskan kejayaan PIK1,” tambahnya.

 

Menara Syariah terletak di kawasan yang diperuntukkan sebagai Daerah Kewangan Islam yang merupakan sebahagian daripada Daerah Kewangan Antarabangsa seluas 23.5 hektar.

 

Menara berkenaan dibina di atas tanah 1.4 hektar daripada plot seluas 3.6 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak AS$250 juta, yang terdiri daripada bangunan komersial dan runcit dengan dua menara pejabat, setiap satu 29 tingkat tinggi dan direka bentuk untuk mempromosi identiti unik dengan ruang kerja moden, kondusif dan sedia masa depan sebagai hab perniagaan bertaraf dunia.

 

Kedua-dua menara itu mempunyai lebih daripada satu juta kaki persegi keluasan lantai kasar yang menyediakan ruang kerja untuk 5,000 pekerja pejabat dengan pemandangan pantai Teluk Jakarta lengkap dengan jalur runcit, dek pemerhatian berlandskap, kolam infiniti, surau dan ruang pejabat 23 tingkat.

 

PublicInvest mengekalkan saranan ‘outpergorm’ dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM1.80 sesaham.

 

Pada pukul 12:27 tengah hari ini, saham Matrix Concepts kekal pada RM1.61, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM2.01 bilion.  - DagangNews.com