PublicInvest kekal optimis terhadap prospek masa hadapan Chin Hin Group | DagangNews Skip to main content

PublicInvest kekal optimis terhadap prospek masa hadapan Chin Hin Group

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - Public Investment Bank Research kekal optimis terhadap prospek Chin Hin Group Berhad untuk jangka sederhana dan panjang terutama berkaitan jangkaan pelancaran projek infrastruktur pada tahun akan datang.

 

Firma itu berkata, ia adalah sebagai tambahan kepada sumbangan pendapatan daripada Signature International (SIB) and Chin Hin Group Property (CHGP) Solarvest Holdings Berhad (SHB).

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap kumpulan itu dengan menaikkan harga sasaran (TP) RM3.01 berbading RM2.12 dengan menukar metodologi penilaian kami kepada jumlah bahagian berdasarkan cerminan nilai pelaburannya di dalam SIB dan CHGP," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu turut mengumumkan terbitan bonus yang akan melibatkan penerbitan 885.1 juta saham baharu pada tarikh yang akan ditentukan kemudian dan ia hadir selepas pengumuman awal mengenainya dibuat pada November 2021.

 

Katanya, terbitan 885.1 juta saham baharu telah dicadangkan sebagai satu cara untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham atas sokongan berterusan selain melaraskan harga pasaran CHG ke tahap yang lebih berpatutan untuk menarik minat kumpulan pemegang saham dan pelabur yang lebih luas.

 

"Kami bersikap neutral mengenai perkara itu kerana pelaksanaannya menyaksikan pelarasan yang sepadan kepada asas saham dan tidak akan menjejaskan nilai intrinsik kumpulan," katanya.

 

Baru-baru ini kumpulan itu mengumumkan pelupusan sejumlah 25.95 juta saham (3.88% kepentingan) dalam SHB antara 3 Mac dan 18 April 2022 dan meraih keuntungan RM18.7 juta daripada proses itu (kos pelaburan asal: RM4.9 juta).

 

Dalam perkembangan sama, SIB menjalinkan kerjasama strategik bersama Scanwolf Corporation dalam usaha meneroka pasaran domestik dan peruncitan dengan mencipta nilai menerusi segmen B2P, B2B dan B2C.

 

Sementara itu, Solarvest Holdings dilantik sebagai penyedia penyelesaian kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek PV solar atas bumbung yang melibatkan 12 kedai dan satu pusat pengedaran baharu rangkaian pasar raya besar Lotus. - DagangNews.com