PublicInvest Research jangka Cengild Medical berdepan cabaran besar untuk berkembang dalam sektor penjagaan kesihatan | DagangNews Skip to main content

PublicInvest Research jangka Cengild Medical berdepan cabaran besar untuk berkembang dalam sektor penjagaan kesihatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - PublicInvest Research menjangkakan Cengild Medical Berhad berdepan pelabagai cabaran untuk berkembang dalam sektor penjagaan kesihatan termasuk persaingan daripada hospital dan pusat perubatan ternama di negara ini.

 

Firma penyelidikan itu juga melihat, operasi Cengild juga bergantung kepada sesetengah pembekal utama selain berpotensi berdepan kenaikan kos sewa bagi pusat penjagaan kesihatan mereka yang terletak di Nexus@Bangsar South, di sini.

 

"Pusat Perubatan mereka juga terlalu bergantung kepada ketersediaan pakar usus (gastroenterologist), pakar hati (hepatologist) selain pakar perunding dan sesetengah pembekal utama untuk beroperasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Cengild merupakan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mengendalikan pusat perubatan yang khusus dalam diagnosis dan rawatan penyakit gastrousus dan hati, serta obesiti. 

 

Selain itu mereka turut menyediakan perkhidmatan dan diagnosis bagi sakit puan (gynaecology), urologi (urology), kanser (oncology) dan jantung (cardiology).  

 

Sehingga 1 Mac 2022, Cengild mempunyai enam kakitangan perunding, lima pakar perunding, 17 pakar perunding pelawat dan empat pegawai perubatan merangkumi tiga perunding serta empat pakar perunding pelawat dalam bidang gastrousus, hati dan obesiti.

 

cengild

 

Firma enyelidikan itu berkata, perkembangan Cengild akan bergantung kepada perniagaan pusat perubatan mereka, perkembangan geografi untuk perkhidmatan yang ditawarkan selain pertambahan kakitangan perubatannya.

 

"Kami melihat mereka memiliki kekuatan tersendiri dengan manawarkan perkhidmatan khusus untuk rawatan berkaitan penyakit gastrousus, hati dan obesiti dengan menawarkan barisan perunding yang berpengalaman.

 

"Pusat perubatan itu juga dilengkapi dengan kemudahan perubatan terkini selain turut bekerjasama dengan pelbagai syarikat insurans dan pihak ketiga," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menetapkan harga RM0.42 untuk saham mereka selepas mengambil kira perancangan jangka panjang untuk mengkuhkan pasukan perubatannya menerusi pengambilan lebih ramai pakar perunding selain cadangan menubuhkan lebih banyak pusat perubatan di bandar-bandar utama. - DagangNews.com