PublicInvest semak turun ramalan pendapatan Cypark sebanyak 48% bagi FY25 kesan operasi kurang cekap loji WTE | DagangNews Skip to main content

PublicInvest semak turun ramalan pendapatan Cypark sebanyak 48% bagi FY25 kesan operasi kurang cekap loji WTE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Julai - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) menyemak turun ramalan pendapatan Cypark Resources Bhd bagi FY25 sebanyak 48% kesan operasi kurang cekap loji sisa-ke-tenaga (WTE) akibat kebakaran sebelum ini.

 

Katanya, selain itu ia juga kesan daripada kelewatan kecil dalam pengkomersialan projek Danau Tok Uban (DTU).

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu melaporkan kerugian bersih teras suku tahunan ketiga sebanyak RM68.4 juta pada 4QFY24, peningkatan daripada RM30.7 juta pada 3QFY24.

 

"Ini disebabkan oleh penyahiktirafan aset cukai tertunda berjumlah RM46 juta, akibat daripada lebihan peruntukan semasa pelaksanaan penyatuan kerugian pada tahun kewangan 2023 (FY23).

 

"Keputusannya terjejas secara negatif oleh insiden kebakaran yang tidak dijangka, yang menyebabkan masa henti yang tidak berjadual di loji WTE, membawa kepada kerugian bersih sebanyak RM13 juta bagi segmen itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
 

PublicInvest berkata, kerugian teras bersih FY24 sebanyak RM106.2 juta meleset daripada anggaran kerugian bersih tahun penuh konsensus masing-masing sebanyak RM43.1 juta dan RM34.7 juta.

 

Sementara itu, Cypark mencapai tarikh operasi komersial (COD) untuk projek LSS3 Merchang 100 MW pada 9 Jun 2024, tujuh minggu selepas tarikh operasi awal 21 April 2024.

 

"Penyiapan projek LSS3 ini dijangka memberikan Cypark pendapatan stabil daripada penjanaan elektrik untuk 21 tahun akan datang dan membolehkan syarikat mengubah hala sumber ke arah menyiapkan projek LSS2 DTU menjelang suku ketiga tahun kalendar 2024 (3QCY24) ," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan operasi kilang WTE akan disambung semula secara beransur-ansur, yang akan mengurangkan anggaran pendapatan.

 

PublicInvest mengekalkan penarafan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak 80 sen berbanding 86 sen sesaham. - DagangNews.com