PublicInvest semak turun unjuran pendapatan Kumpulan Perangsang Selangor sebanyak 54% bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

PublicInvest semak turun unjuran pendapatan Kumpulan Perangsang Selangor sebanyak 54% bagi FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Nov - Public Investment Bank Research (PublicInvest) menyemak turun ramalan pendapatan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad sebanyak 54% bagi FY23 kesan permintaan perlahan dalam segmen elektronik ditambah kos operasi yang mencabar bagi baki tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY24 dan FY25 kerana berpendapat bahawa pemulihan dalam bahagian terasnya akan kembali pulih menjelang 1HFY24.

 

Katanya, bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23), pendapatan kumpulan itu terkesan oleh perniagaan terasnya manakala keuntungan sebelum cukainya susut 30.1% kesan daripada hakisan margin akibat kos operasi tinggi.

 

"Walaupun berjaya meraih kontrak besar baru-baru ini melalui Aqua-Flo daripada Air Selangor, kami mengambil kira prospek pendapatan kumpulan kerana kelemahan dalam permintaan elektronik dijangka berterusan sehingga 1HFY24 dengan prospek ekonomi global dijangka terus merosot.

 

"Kami tidak menolak kemungkinan bahawa pendapatan boleh dirangsang oleh aktiviti daripada segmen lain seperti bahagian dagangan (Aqua-Flo) dan infrastruktur (SmartPipe Technology)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Kumpulan Perangsang Selangor catat untung bersih dua kali ganda lebih rendah berjumlah RM6.26 juta pada 3QFY23

 

Terdahulu, pendapatan kumpulan pada 3QFY23 berkurangan disebabkan oleh hasil lebih rendah dalam semua sektor kecuali untuk pelesenan.

 

Secara khususnya, sektor pembuatan mengalami penurunan sebanyak RM43.1 juta, sektor infrastruktur dan perdagangan masing-masing merosot sebanyak RM4.2 juta dan RM2.7 juta, dan pelaburan hartanah menurun sebanyak RM300,000.

 

PublicInvest berkata, prestasi keseluruhan diheret oleh kelemahan dalam semua bahagian dengan bahagian pembuatan merekodkan penurunan 13% berikutan jumlah pengeluaran yang lebih rendah berikutan permintaan yang lebih perlahan.


Katanya, bahagian pelesenan dan infrastruktur mencatatkan penurunan mendadak sebanyak 27.5% dan 88.5% hasil daripada pengebilan pembayaran royalti yang lebih perlahan berjumlah RM10 juta kepada pelanggan sedia ada dan penyiapan kerja di bahagian infrastruktur.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) 78 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com