PublicInvest turunkan unjuran pendapatan Chin Well antara 15% hingga 45% bagi FY23-FY25 kesan permintaan perlahan | DagangNews Skip to main content

PublicInvest turunkan unjuran pendapatan Chin Well antara 15% hingga 45% bagi FY23-FY25 kesan permintaan perlahan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Dis - Public Investment Bank Research menyemak turun unjuran pendapatan Chin Well Holdings Berhad antara 15% hingga 45% bagi FY23 hingga FY25 selepas mengambil kira pemulihan permintaan yang lebih perlahan.

 

Katanya, pengurusan kumpulan itu menjangkakan pendapatan kekal tertekan kerana buku pesanan masih rendah tetapi menunjukkan sedikit peningkatan dalam keyakinan perniagaan.

 

Inflasi teras yang tinggi secara berterusan, kadar faedah yang tinggi dalam kebanyakan ekonomi dan konflik geopolitik yang berterusan terus memberi kesan kepada pertumbuhan global dan permintaan yang lembap untuk produk pengikat.

 

"Ekonomi zon Euro menguncup 0.1% pada suku ketiga dan dijangka kekal lemah pada suku keempat tahun ini memandangkan set data ekonomi baru-baru ini masih mencatatkan penguncupan.

 

"Aktiviti ekonomi Amerika Syarikat juga diunjur perlahan dengan ketara menjelang 2024 kerana kos pinjaman yang lebih tinggi melembapkan pengambilan dan perbelanjaan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu melaporkan untung bersih yang lebih lemah sebanyak RM2.6 juta, penyusutan 47.4% bagi 1QFY24 selepas permintaan mencatatkan penyusutan.

 

Keputusan adalah di bawah jangkaan dan konsensus, masing-masing menyumbang 5.3% dan 6.0% daripada anggaran tahun penuh. Ia disebabkan oleh permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan daripada pasaran AS.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada suku berkenaan, pendapatan kumpulan susut kepada RM2.6 juta disebabkan hasil yang lebih rendah dan purata harga jualan (ASP) berikutan kejatuhan harga global batang dawai serta persaingan dari China.

 

Katanya, kadar penggunaan kapasiti kumpulan adalah rendah sebanyak 22% kerana permintaan untuk kedua-dua bahagian (produk pengikat dan wayar) terjejas oleh permintaan global yang lebih lemah di tengah-tengah halangan ekonomi dan konflik geopolitik yang berterusan, terutamanya di Eropah dan AS

 

"Kami mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.00 sesaham," katanya. - DagangNews.com