PublicInvest unjur pendapatan Homeritz lebih baik pada 1QFY24 disokong peningkataan permintaan menjelang sambutan Krismas | DagangNews Skip to main content

PublicInvest unjur pendapatan Homeritz lebih baik pada 1QFY24 disokong peningkataan permintaan menjelang sambutan Krismas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Okt - Public Investment Bank Research (PublicInvest) mengunjurkan Homeritz Corporation Berhad mencatatkan pendapatan lebih baik pada 1QFY24 disokong oleh permintaan positif terutama menjelang sambutan Krismas. 

 

Selain itu, unjuran itu juga disokong oleh kejayaan kumpulan mendapatkan pelanggan baharu di rantau Asia yang seharusnya diterjemahkan kepada peningkatan pesanan jualan yang lebih tinggi pada FY24 dan FY25.

 

Bagaimanapun, mereka tidak menjangkakan kadar penggunaan kilang meningkat melebihi 70% kerana permintaan perabot kekal terhad memandangkan persekitaran kadar faedah yang meningkat yang akan menjejaskan pasaran hartanah.

 

"Kami kekal positif terhadap prospek jangka panjang Homeritz kerana kumpulan itu kekal proaktif dalam mengejar pelanggan baharu, ditambah pula dengan pembangunan produk baharu termasuk reka bentuk baharu bagi produk sedia ada.

 

"Usaha itu seharusnya membantu meningkatkan kecekapan kos dan diterjemahkan kepada jualan yang lebih baik pada masa hadapan," katanya dalam satu not akajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil 4QFY23 kumpulan itu merosot 10% kepada RM46.0 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh kesan asas yang tinggi hasil daripada lonjakan luar biasa dalam pengeluaran akibat pesanan yang ditangguhkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

 

Selaras dengan jumlah pengeluaran yang lebih rendah, untung sebelum cukai turun 20.7% kepada RM10.4 juta, manakala untung bersih turun 27.8% kepada RM7.9 juta, memandangkan skala ekonomi yang lebih lemah.

 

PublicInvest berkata, kumpulan itu juga telah mengambil bahagian secara aktif dalam pameran perabot bagi mendapatkan pelanggan baharu di rantau Asia, menghasilkan peningkatan dalam jualan pada 4QFY23.

 

"Kami percaya ini akan mempunyai kesan limpahan pada FY24 hingga FY25 dan oleh itu, kami menyemak semula ramalan kami dengan purata 6.5%.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran 51 sesaham," katanya. - DagangNews.com