PublicInvest unjur perkembangan Autocount dipacu oleh kehadiran perniagaan di pasaran Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

PublicInvest unjur perkembangan Autocount dipacu oleh kehadiran perniagaan di pasaran Asia Tenggara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - Public Investment Bank Research (PublicInvest) menjangkakan perkembangan Autocount Dotcom Berhad terus dipacu oleh kehadiran perniagaan di Asia Tenggara dengan penyepaduan perisian berkaitan.

 

Firma itu berkata, perkembangan itu juga akan turut dibantu peningkatan penawaran perisian selain pengambilan pembangun perisian tambahan selain pengedar baharu.

 

Katanya, kekuatan kumpulan itu termasuk penggunaan meluas dalam pasaran merentas pelbagai industri termasuk rangkaian luas penawaran perisian pengurusan kewangan serta penyesuaian berterusan perisian kepada keperluan pasaran yang berubah-ubah,

 

"Selain rangkaian Pengedaran Sah yang ditubuhkan selain sokongan sistem sokongan dalaman, penyediaan platform pembelajaran kendiri sehenti dan pasukan pengurusan yang berpengalaman," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kumpulan itu merancang untuk memudahkan pengembangan ini bersama-sama dengan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) lain untuk meningkatkan perisian sedia ada dan membangunkan perisian baharu menggunakan hasil daripada terbitan tawaran awam permulaan (IPO).

 

Syarikat itu, yang melancarkan prospektusnya pada 14 April 2023 akan mempunyai modal saham yang diperbesarkan sebanyak 550.5 juta saham selepas penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia dan menjangka memperoleh RM30.88 juta daripada IPO.

 

Tawaran itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 93.59 juta saham baharu atau 17% daripada asas sahamnya yang diperbesarkan, dan tawaran untuk jualan sebanyak 44.04 juta saham.

 

Firma itu berkata, selain menggunakan 14.3% daripada hasil untuk modal kerja, 56.2% dan 16.9% daripada hasil itu masing-masing diperuntukkan untuk pengembangan wilayah dan peningkatan produk.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan pelbagai kelemahan termasuk persaingan daripada prinsipal perisian pengurusan kewangan sedia ada dan baharu.

 

"Selain itu mereka juga berdepan cabaran turun naik kadar pertukaran mata wang asing, potensi pelanggaran hak pemilikan dan pendedahan kepada risiko pelanggaran keselamatan.

 

"Kami menetapkan harga wajar (FV) 51 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com