PublicInvest yakin LBS Bina capai sasaran jualan RM1.2 bilion, kekal saranan 'Outperform' | DagangNews Skip to main content

PublicInvest yakin LBS Bina capai sasaran jualan RM1.2 bilion, kekal saranan 'Outperform'

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Nov - Public Investment Bank mengekalkan panggilan 'Outperform' bagi LBS Bina Group Bhd memandangkan cadangan pelaburannya yang menarik dan kedudukan yang kukuh sebagai peneraju dalam segmen rumah mampu milik pasaran besar domestik.

 

Dalam nota penyelidikannya, PublicInvest Research berkata, untung bersih suku ketiga tahun kewanga 2021 Kumpulan berjumlah RM18.1 juta berada dalam anggaran dan konsensus pada 79% daripada unjuran setahun penuh.

 

Katanya, pendapatan Kumpulan kekal tidak berubah buat masa ini memandangkan persekitaran operasi yang sukar tetapi pihaknya percaya pengebilan Kumpulan akan terus disokong oleh jualan tidak dibil yang kukuh melebihi RM2 bilion dan kadar penambahan jualan tahunannya sebanyak kira-kira RM1 bilion.

 

"Kami mengekalkan panggilan Outperform kami memandangkan cadangan pelaburannya yang menarik dan kedudukannya yang kukuh sebagai peneraju dalam segmen rumah mampu milik pasaran besar domestik. 

 

"Harga sasaran tidak berubah pada RM0.69," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambahnya, pengurusan LBS Bina telah menyemak pelancaran projek yang dirancang yang pada asalnya mempunyai 11 projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.66 bilion kepada 6 projek bernilai hanya RM1.6 bilion sekarang. 

 

Antara projek tertunda termasuk Bayu Hills (RM430 juta GDV) dan Melodi Perdana (RM119 juta GDV) yang kini mungkin akan diumumkan pada 2022.

 

"Sekali lagi, projek berpangkalan di Lembah Klang membuat sebahagian besar pelancaran, dengan RM1.43 bilionn produk (daripada RM1.6 bilion) dan Kumpulan bersedia untuk mendedahkan baki RM190 juta projek bernilai pada Q4FY21 terutamanya daripada LBS Alam Perdana ( RM158 juta GDV) dan Bandar Putera Johor (RM32 juta GDV).

 

"Kami yakin LBS Bina berada di landasan untuk memenuhi sasaran jualan TK21. Jualan belum dibil kumpulan meningkat kepada RM1.06 bilion pada Nov 2011 daripada RM728 juta dalam jualan pada Ogos, yang kami percaya ia dapat memenuhi sasaran jualan TK21 sebanyak RM1.2 bilion," katanya.  -DagangNews.com