Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Okt. - Publicis Groupe mengumumkan pelantikan Elya Eusoff sebagai Pengurus Besar firma perhubungan awam miliknya, MSL Malaysia.
Menurut laporan Marketech-Apac, Eusoff akan memimpin dan memperkukuhkan lagi penawaran komunikasi bersepadu MSL sambil mempercepat cadangan pengaruh inovatif Groupe menggunakan prinsip 'Power of One'.
Elya pernah berkhidmat di Ruder Finn sebelum menyertai MSL di mana beliau bertanggungjawab untuk mengawasi usaha komunikasi pemasaran bersepadu agensi tersebut.
Sebelum itu beliau mengetuai bahagian perhubungan awam di Bonsey Jayden.
"Elya mempunyai banyak pengalaman dalam perhubungan awam, pemasaran digital, dan komunikasi pemasaran yang bersesuaian dengan peranan baharunya sebagai pengurus besar," menurut laporan itu.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif APAC & MEA MSL, Margaret Key berkata, pemahaman yang luas tentang perhubungan awam digital dan pengaruh Elya pasti akan memberikan penyelesaian terbaik dan paling berkesan yang akhirnya memberi impak kepada perniagaan dan juga pelanggan.
"Kami berbesar hati menerima kehadiran Elya sebagai sebahagian daripada keluarga MSL," katanya,
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Publicis Groupe Malaysia dan Ketua Pelanggan Global bagi Asia Pasifik Publicis Groupe, Neil Hudspeth berkata, perhubungan awam telah berkembang dengan pesat menjadi komponen penting bagi jenama hari ini.
"Dengan kandungan digital dan pendekatan pengalaman pertama dengan 'Influencer' yang tepat dan strategi media yang dimiliki, saya tidak sabar-sabar untuk memacu penyelesaian PR yang memfokuskan kepada pelanggan holistik yang akan terus mendorong pertumbuhan kumpulan," katanya.
Mengenai pelantikannya, Elya berkata beliau teruja untuk menyertai MSL di era 'platform' yang semakin popular.
"Dengan platform memberikan pelanggan dengan lebih banyak pilihan kandungan, saya tidak sabar untuk berkolaborasi untuk menghasilkan kempen-kempen menarik dan berkaitan dengan kerjasama pasukan Publicis Group dalam merealisasikan objektif pelanggan," katanya.
Rangkaian MSL di Asia-Pasifik telah berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kini merangkumi 25 pejabat yang tersebar di pasaran APAC seperti China, Singapura, India, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, dan Taiwan. -DagangNews.com