Pulau Pinang kekal pengeskport utama Malaysia bagi Januari 2022 dengan sumbangan sebanyak 31.3% | DagangNews Skip to main content

Pulau Pinang kekal pengeskport utama Malaysia bagi Januari 2022 dengan sumbangan sebanyak 31.3%

KUALA LUMPUR 14 Mac - Pulau Pinang kekal pengeksport utama negara pada Januari 2022 dengan sumbangan sebanyak 31.3% daripada keseluruhan nilai eksport.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Selangor berada di kedudukan kedua dengan sumbangan 19% diikuti Johor dengan 18.3% manakala Sarawak di kedudukan keempat dengan 7.8% dan Kedah dengan 4.1%.

 

Secara keseluruhannya, jumlah dagangan Malaysia pada Januari 2022 meningkat sebanyak 24.8% kepada RM203 bilion dengan nilai eksport melonjak 23.5% kepada RM110.7 bilion dan import bernilai RM92.3 bilion, meningkat 26.4% dari tahun ke tahun.

 

Beliau berkata, daripada jumlah itu, eksport barangan elektrik dan elektronik masih menjadi penyumbang utama sebanyak RM44.8 bilion atau 40.4% daripada jumlah keseluruhan pada Januari 2022.

 

"Pulau Pinang mencatatkan eksport tertinggi bagi barangan elektrik dan elektronik bernilai RM26.2 bilion atau 58.5% diikuti Selangor dengan RM6 bilion atau 13.3% dan Johor dengan RM4.8 bilion atau 10.7%.

 

"Secara keseluruhannya, eksport lebih tinggi dicatatkan di kebanyakan negeri dengan Pulau Pinang mencatatkan peningkatan sebanyak RM5 bilion diikuti Johor dengan pertambahan RM4 bilion, Sarawak meningkat sebanyak RM3.7 bilion manakala Selangor (+RM3.6 bilion), Kedah (+RM1.8 bilion), Sabah (+RM1.4 bilion), Pahang (+RM732.3 juta), Labuan (+RM713.8 juta), Terengganu (+RM511.0 juta), Kuala Lumpur (+RM278.9 juta), Kelantan (+RM66.2 juta) dan Perlis (+RM33.1 juta).

 

"Bagaimanapun, eksport menyusut di Perak (-RM610.2 juta), Melaka (-RM197.9 juta) dan Negeri Sembilan (-RM68.9 juta)," katanya dalam laporan statistik eksport import mengikut negeri Januari 2022 yang diterbitkan hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, prestasi import mengikut negeri pula turut meningkat RM19.3 bilion atau 26.4% pada Januari 2022 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

 

Beliau berkata, peningkatan import dicatatkan di Selangor (+RM4.7 bilion), Pulau Pinang (+RM4.0 bilion), Johor (+RM3.4 bilion), Kedah (+RM2.4 bilion), Kuala Lumpur (+RM1.6 bilion), Sarawak (+RM1.2 bilion), Negeri Sembilan (+RM673.0 juta), Pahang (+RM525.5 juta), Melaka (+RM151.9 juta), Perak (+RM143.0 juta), Terengganu (+RM115.1 juta), Sabah (+RM98.2 juta) dan Perlis (+RM22.5 juta).

 

Namun, katanya, import menurun di Kelantan (-RM162.8 juta) dan Labuan (-RM37.9 juta). - DagangNews.com