IPOH 4 Julai - Politeknik Ungku Omar (PUO) akan menambah tiga bidang pengajian baharu pada peringkat ijazah sarjana muda bagi pengambilan tahun ini di kampusnya di sini.
Ia bagi program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Marin dan Teknologi, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Bina.
Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah berkata, penambahan tiga bidang tersebut sebagai langkah untuk PUO disenarai bagi Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan atau APEX.
Menurut beliau, pemilihan bagi program APEX tidak hanya melihat kepada pencapaian dan kecemerlangan lepas tetapi lebih kepada perancangan masa depan.
“Ketika ini kita hanya menawarkan tiga bidang tersebut pada peringkat diploma di kampus PUO di sini.
“Daripada segi tenaga pengajar dan prasarana tiada sebarang perubahan kerana kita telah pun membuat persediaan.
“Menjelang tahun hadapan ada lima lagi bidang pengajian baharu peringkat ijazah sarjana muda diperkenalkan yang mana ia sedang diperincikan pada peringkat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti,” ujarnya.
Beliau ditemui semasa sidang akhbar pada majlis penutup Pertandingan Kemahiran Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCCSkills) di kampus PUO di sini.
Ia disempurnakan oleh Pengarah Kanan Akademik, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti mewakili Ketua Pengarah, Mohd Noor Shahudin.
Pertandingan kemahiran melibatkan semua kampus politeknik dan kolej komuniti mempertandingkan 39 bidang kemahirwn dengan penyertaan 780 orang pelajar.
Sementara itu, Mohd Noor memberitahu sebanyak 4,000 permohonan diterima bagi kemasukan ke Program Asasi bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di semua kampus politeknik.
Bagaimana pun katanya, hanya 1,000 pemohon akan diambil berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
Menurut beliau, bilangan pemohon yang ramai ini menunjukkan program Asasi TVET mendapat tempat daripada pelajar lepasan SPM.
“Jumlah yang ramai ini berdasarkan pilihan pertama pelajar dalam borang permohonan. Pemohon yang tidak ditempatkan (Asasi TVET) akan ditawarkan dalam bidang lain mengikut turutan pilihan.
“Melihat pada trend ini kita percaya pelajar lepasan SPM telah meletakkan keyakinan pada TVET sebagai pilihan pengajian mereka,” ujarnya. - DagangNews.com