Purata harga bar keluli catat peningkatan 20% kepada RM3,910 setiap tan pada Mei 2022 | DagangNews Skip to main content

Purata harga bar keluli catat peningkatan 20% kepada RM3,910 setiap tan pada Mei 2022

KUALA LUMPUR 9 Jun - Purata harga bar keluli mencatatkan peningkatan sebanyak 20% kepada RM3,910 setiap tan metrik pada Mei 2022 berbanding RM3,258 setiap tan metrik pada tempoh yang sama tahun lepas susulan peningkatan harga bahan binaan.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Indeks Kos Binaan (IKB) tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak mencatatkan peningkatan pada Mei 2022 berbanding setahun lalu. 

 

Beliau berkata, indeks kos binaan juga meningkat di Semenanjung Malaysia antara 7.8% hingga 15.6%,  Sabah (antara 4.9% hingga 12.9%) dan Sarawak (antara 7.4% hingga 16.5%).

 

"Simen mencatatkan peningkatan sebanyak 12.2% pada Mei 2022 dengan RM20.89/50 kilogram berbanding RM18.61/50 kilogram pada Mei 2021.

 

"Harga hampir semua bahan binaan lain seperti batu baur, pasir, batu bata & dinding, bahan bumbung dan bahan siling juga merekodkan peningkatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan hari ini.

 

Mohd. Uzir berkata, indeks harga seunit bahan binaan meningkat antara 4.1% hingga 19.9%.

 

"Indeks harga bagi seunit besi dan keratan keluli dan logam meningkat masing-masing 19.9% dan 18.1% pada Mei 2022 berbanding Mei 2021.

 

bahan

 

"Indeks harga bagi seunit simen juga meningkat 12.4% bagi tempoh tersebut,” katanya.

 

Beliau berkata, dalam konteks item dan kawasan terpilih, peningkatan tertinggi bagi besi dicatatkan di Miri (35.9%) diikuti Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (29.3%).

 

Indeks harga bagi seunit simen untuk Kuching dan Kota Kinabalu masing-masing meningkat 19.6% dan 17.6%.

 

IKB dengan bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan bagi semua kategori bangunan.

 

Menurut laporan World Steel Association (WSA) penggunaan keluli global dijangka meningkat kepada 1.84 bilion tan metrik pada 2022, peningkatan 0.4% daripada 2021 dan pada 2023, permintaan keluli diunjur meningkat 2.2% kepada 1.88 bilion tan metrik. - DagangNews.com