Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) menjangkakan purata harga jualan (ASP) sarung tangan nitril akan meningkat 20% pada bulan September dan Oktober 2020.
ASP produk itu seterusnya dijangka melonjak 10% lagi pada November 2020.
CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) berkata, ASP bagi sarung tangan lateks juga meningkat 5% pada September dan Oktober berbanding Ogos.
“Ini disokong oleh banyak penerimaan tempahan sehingga penghujung 2020, memandangkan Top Glove berhasrat meningkatkan kapasiti tempahan sehingga 30% berbanding 20% hingga 25% sebelum ini,” jelas analisis CGS-CIMB.
Disebabkan penularan COVID-19, Top Glove berterusan menyaksikan permintaan tinggi dengan jualan sarung tangan nitril diunjur 20 bulan daripada 18 bulan sebelum ini.
Walaupun terdapat ura-ura COVID-19 akan pulih menerusi penemuan vaksin, namun Top Glove percaya penggunaan sarung tangan global akan kekal mengukuh.
Ini berikutan kesedaran penjagaan kesihatan dan kebersihan semakin meningkat di negara-negara sedang membangun dan peningkatan penggunaannya dalam sektor perubatan dan bukan perubatan.
“Kami mengekalkan saranan ‘tambah’ saham Top Glove dengan harga sasaran RM9.20.
“Kami melihat Top Glove sebagai kunci utama bagi dinamik bekalan-permintaan dalam sektor sarung tangan didorong penularan COVID-19.
“Ini memandangkan Top Glove merupakan pengeluar sarung tangan terbesar di dunia dari segi kapasiti (85.2 bilion sarung tangan setiap tahun setakat 31 Ogos 2020),” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com