Purata harga minyak sawit mentah jatuh kali pertama pada Jun 2021 - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Purata harga minyak sawit mentah jatuh kali pertama pada Jun 2021 - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Purata harga minyak sawit mentah (MSM) merosot 16% pada Jun 2021 kepada RM3,831 setiap tan, penurunan bagi perbandingan bulan ke bulan yang pertama kali berlaku pada tahun ini. 

 

Ini disebabkan oleh rancangan Indonesia untuk memotong levi eksportnya selain harga minyak lain yang boleh dimakan lebih lemah, berdasarkan kaji selidik CGS-CIMB Research. 

 

Walaubagaimanapun, purata harga MSM pada bulan berkenaan meningkat 120% tahun ke tahun.

 

“Kami mengunjurkan harga MSM akan kekal kukuh pada RM3,400 hingga RM4,000 setiap tan pada Julai 2021 ketika inventori minyak boleh dimakan global rendah, di mana mengambil masa untuk meningkat semula dan kekurangan pekerja di Malaysia. 

 

“Kami masih menjangkakan bekalan MSM untuk memulih dalam tempoh beberapa bulan akan datang, tetapi pada kadar perlahan kerana isu kekurangan tenaga buruh. 

 

“Walaupun harga MSM kian meningkat, namun harga saham pemain industri perladangan di Malaysia masih lagi di bawah tekanan kerana tercetusnya tuduhan buruh paksa. Pemotongan levi eksport di Indonesia dilihat agak negatif,” jelas firma itu dalam satu kenyataan.

 

Hasil kaji selidik CGS-CIMB Futures mendapati output MSM Malaysia berjumlah 1.6 juta tan pada Jun 2021, meningkat 2% bagi perbandingan bulan ke bulan, namun menyusut 15% tahun ke tahun. 

 

Bagi aspek esport pula, ia dijangka menokok 9% bulan ke bulan, berdasarkan statistik eksport oleh juruukur kargo, Intertek Testing Services , SGS dan Amspec Malaysia.

 

CGS-CIMB menjangkakan inventori minyak sawit Malaysia mungkin meningkat 3% bulan ke bulan, namun menyusut 15% tahun ke tahun kepada 1.61 juta tan pada penghujung Jun 2021. 

 

“Ini merupakan peralihan daripada trend-trend sebelum ini, di mana stok minyak sawit Malaysia pada Jun telah menyusut pada purata 2.2% bulan ke bulan, bagi tempoh 10 tahun lalu.

 

“Namun, paras stok minyak sawit di Malaysia dijangka terus terhad memandangkan ia 15% di bawah purata stok minyak sawit pada bulan Jun, sepanjang tempoh 10 tahun iaitu pada kadar 1.9 juta tan. Angka rasmi akan dikeluarkan pada 12 Julai,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com