KUALA LUMPUR 4 April - Purata harga pasir di negara ini bagi Mac 2024 dilaporkan berjumlah RM48.14 setiap tan metrik yang merupakan peningkatan sebanyak 13.9% berbanding bulan sama setahun yang lalu.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), perbandingan bulan ke bulan pula menyaksikan peningkatan harga sebanyak 4.7% dengan harga satu tan pasir pada Februari 2024 ialah RM45.71.
Sementara itu, purata harga simen di negara ini pula mencatatkan peningkatan 2.7% pada Mac 2024 berbanding Mac 2023.
Kata DOSM, pada Mac 2023, harga simen (ordinary Portland) berjumlah RM22.41 bagi karung 50 kilogram (kg) namun setahun kemudian meningkat RM23.01.
"Selain daripada itu, perbandingan bulanan bagi purata harga simen mencatatkan peningkatan kecil (0.2%) dengan purata harga RM23.01 per 50 kg sekarung berbanding Februari 2024 (RM22.97 per 50 kg sekarung)," kata Ketua Pengarah DOSM, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Menurut Ketua Perangkawan itu, perbandingan bulanan bagi simen turut menunjukkan indeks harga seunit bahan ini kekal tidak berubah bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Mac 2024.
ARTIKEL BERKAITAN: Harga simen Feb 2024 melonjak lebih 10% berbanding bulan sama tahun lalu - DOSM
Namun begitu, katanya, terdapat penurunan kecil bagi indeks harga seunit bahan ini di Terengganu & Kelantan (-0.3%).
Perbandingan tahunan untuk tempoh Mac 2023 dan Mac 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen meningkat antara 0.9 peratus hingga 7.7 peratus bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Namun begitu, terdapat penurunan kecil direkodkan dalam indeks harga seunit bahan ini di Kota Kinabalu (-0.7%)
dan Kuching (-0.1%).
"Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars pula adalah RM3,683.51 bagi setiap tan metrik, mencatatkan peningkatan yang kecil iaitu 0.1 peratus berbanding bulan sebelumnya (Februari 2024: RM3,679.54 per tan metrik).
"Perbandingan tahunan bagi purata harga seunit besi pula merekodkan penurunan kecil yang kecil iaitu negatif 0.2 peratus berbanding Mac 2023 (RM3,690.90 per tan metrik)," ujarnya. - DagangNews.com