Purata kadar pengangguran 2024 dijangka kekal pada paras 3.2%, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Purata kadar pengangguran 2024 dijangka kekal pada paras 3.2%, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mac - Kenanga Research mengekalkan purata kadar pengangguran 2024 berada pada paras 3.2% selaras dengan perkembangan ekonomi semasa.

 

Katanya, pasaran tenaga kerja dijangka kekal stabil sepanjang tahun ini memandangkan pertumbuhan pekerjaan yang direkodkan baru-baru ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia juga disebabkan jangkaan bahawa aktiviti pengambilan pekerja kekal stabil berikutan pengembangan selanjutnya dalam aktiviti ekonomi selain pemulihan dalam sektor pembuatan serta kelulusan pelaburan asing dan domestik.

 

"Tinjauan itu juga selari dengan jangkaan kami untuk pengembangan ekonomi selanjutnya, dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 antara 4.5% hingga 5% berbanding 3.7% pada tahun lalu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kadar pengangguran Jan 2024 kekal 3.3%, kategori bekerja sendiri terus meningkat - DOSM

 

Terdahulu, bilangan penduduk bekerja pada Januari 2024 ialah 16.48 juta orang, meningkat dengan pertambahan sebanyak 0.2% daripada bulan sebelumnya merekodkan 16.48 juta orang (Disember 2023: 16.46 juta).

 

Kadar pengangguran kekal pada 3.3% bagi Januari 2024 seperti mana bulan sebelumnya dengan bilangan penganggur terus turun kepada 567,300 orang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, isu struktur yang berterusan dalam pasaran tenaga kerja termasuk kadar pengangguran belia yang lebih tinggi (umur: 15 hingga 24 tahun) yang kekal pada 10.6% pada Januari untuk bulan ketiga berturut-turut, berjumlah 306,800 orang.

 

Katanya, pengangguran berkaitan pekerjaan berkemahiran, yang ditakrifkan sebagai mereka yang mempunyai pendidikan tinggi dan bekerja dalam kategori separa mahir dan berkemahiran rendah, kini berada pada 37.4%, mencapai rekod tertinggi 1.94 juta pada suku keempat 2023.- DagangNews.com