KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kenanga Research mengekalkan unjuran purata kadar pengangguran 2024 berada pada paras 3.2% selaras dengan perkembangan ekonomi semasa.
Katanya, aktiviti pengambilan pekerja yang kukuh untuk sepanjang tahun ini kerana kadar pengangguran kekal stabil pada 3.3% sepanjang enam bulan pertama dan ia kekal stabil untuk bulan kelapan berturut-turut.
Firma penyelidikan itu berkata, kestabilan itu didorong oleh pengembangan berterusan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, peningkatan ketibaan pelancong, pertambahan pendapatan isi rumah, serta pemulihan beransur-ansur subsektor berorientasikan teknologi.
Selain itu, pelaburan yang diluluskan bernilai RM329.5 bilion yang didaftarkan tahun lepas bersama-sama dengan RM83.7 bilion dalam pelaburan yang diluluskan pada suku pertama tahun ini dijangka meningkatkan lagi pengambilan pekerja.
ARTIKEL BERKAITAN: Kadar pengangguran Jun 2024 kekal 3.3%, Kedah, Selangor terendah 2Q 2024 -DOSM
"Bagaimanapun, ramalan kami kekal terdedah kepada risiko, terutamanya daripada kelembapan ekonomi global, terutamanya jika ekonomi Amerika Syarikat (AS) berprestasi rendah atau pemulihan China lebih perlahan daripada jangkaan.
"Memandangkan Malaysia bergantung kepada perdagangan luar, sebarang kelembapan dalam ekonomi utama menimbulkan risiko penurunan kepada pertumbuhan domestik.
"Namun begitu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 antara 4.5% hingga 5%.
Terdahulu, bilangan penganggur pada Jun 2024 terus menurun kepada 565,300 orang berbanding Mei 2024, 566,100 orang.
Kedudukan tenaga buruh negara kekal dalam trend pertumbuhan positif dengan sedikit peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala penganggur terus menurun berikutan perkembangan kedudukan ekonomi.
Bilangan tenaga buruh terus meningkat pada bulan Jun 2024, dengan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.1% kepada 17.17 juta orang (Mei 2024: 17.15 juta orang), mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi pada bulan tersebut iaitu pada 70.4% (Mei 2024: 70.3%). - DagangNews.com