Purata kadar pengangguran 2024 Malaysia diunjur kekal pada paras 3.4%, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Purata kadar pengangguran 2024 Malaysia diunjur kekal pada paras 3.4%, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Feb - MIDF Research mengunjurkan purata kadar pengangguran 2024 Malaysia kekal pada paras 3.4%. 

 

Katanya, pasaran tenaga kerja di negara ini dijangka terus kukuh pada tahun ini disokong oleh momentum yang menggalakkan dalam ekonomi domestik dan pemulihan dalam perdagangan luar.

 

Kehadiran semula tenaga kerja bukan warganegara dijangka meningkatkan pekerjaan keseluruhan dan mengurangkan kadar pengangguran.

 

"Sehingga suku ketiga 2023, pekerjaan bukan warganegara menyusut hampir 0.8%, lebih rendah daripada tahan pra pandemik.

 

"Kemerosotan pasaran tenaga di Malaysia antara lain adalah disebabkan pemulihan perdagangan luar yang lebih rendah daripada jangkaan dan pengaruh harga komoditi global," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah penganggur catat penurunan kepada 567,800 orang pada Disember 2023 - DOSM

 

Terdahulu, trend guna tenaga yang positif dilihat pada bulan terakhir tahun 2023 mencerminkan asas ekonomi negara yang stabil, didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

 

Kedudukan tenaga buruh terus berkembang sepanjang bulan tersebut, seperti yang ditunjukkan oleh trend yang positif dalam penduduk bekerja dan serentak dengan penurunan dalam bilangan penganggur. 

 

Bilangan penganggur terus menurun, dengan penurunan sebanyak 0.2% mencatatkan 567,800 orang, yang mana kadar pengangguran pada bulan Disember 2023 kekal pada 3.3% seperti pada bulan sebelumnya. - DagangNews.com