PUSAKA, Allianz bawa rakyat Malaysia menelusuri sejarah negara melalui Projek Bina Bangsa | DagangNews Skip to main content

PUSAKA, Allianz bawa rakyat Malaysia menelusuri sejarah negara melalui Projek Bina Bangsa

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Pertubuhan Kebudayaan PUSAKA, dengan kerjasama Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia), bakal memulakan sebuah usaha ilmiah khalayak ramai, Projek Bina Bangsa, yang akan membawa erti yang lebih mendalam mengenai pembentukan Malaysia.

 

Melalui penerbitan bersiri 10 naskah buku yang meneroka asas-asas pembentukan negara, Projek Bina Bangsa bakal menyediakan bahan penting untuk pendidikan masyarakat dan perbincangan yang lebih luas tentang sejarah Malaysia, baik hari ini mahupun di masa hadapan.

 

Usaha yang diketuai oleh Eddin Khoo, seorang penulis, penyelidik budaya, dan anak kepada sejarawan terkemuka negara iaitu mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim.

 

pusaka
                                                         Eddin Khoo

 

Projek Bina Bangsa akan menerbitkan 10 buku yang menjadi tanda aras pembentukan Malaysia, dengan topik Rukun Negara, Kesatuan Malaya, Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Pembentukan Malaysia, Akta Bahasa Kebangsaan dan Kongres Kebudayaan Kebangsaan, Undang-Undang Melaka, Perjanjian Pangkor, Enakmen Tanah Rizab Melayu 1913, Dasar Ekonomi Baru, dan Wawasan 2020.

 

“Sejak akhir-akhir ini, kesedaran serta minat untuk meneroka sejarah semakin berkembang dalam kalangan rakyat Malaysia. Melalui usaha sebegini, PUSAKA berharap untuk membawa khalayak ramai meneroka sebuah renungan yang bermakna bagi mendalami asas-asas pembentukan sebuah negara.

 

"Kami mahu terus menyampaikan sejarah, naratif persekitaran, perkaitannya dengan keadaan semasa serta tujuan setiap topik berbangkit dalam suasana malar dan juga cabaran semasa yang dihadapi rakyat Malaysia dalam sebuah masyarakat yang majmuk dan rumit,” menurut Eddin.

 

“Menerima kesan dari pandemik COVID-19, penyatupaduan sosial yang lebih utuh adalah mustahak. Usaha untuk menggabungkan aspirasi asal-muasal dan meneroka tunjang penubuhan negara merupakan satu langkah penting dalam mendukung usaha penyatupaduan sedemikian,” tambah Eddin.

 

Buku-buku ini akan diterbitkan secara berperingkat antara Ogos dan Disember ini dan bakal didapati di kedai-kedai buku terpilih.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir percaya bahawa penglibatan dalam perkhidmatan perlindungan dan juga sebagai ahli korporat di Malaysia, agen insurans juga boleh memainkan peranan yang penting dalam mengukuhkan kelestarian negara melalui perpaduan.

 

allianz
                    Zakri Khir

 

“Sejarah Malaysia yang menakjubkan selalu sahaja tidak dihargai sepenuhnya. Buku-buku teks untuk pembelajaran di sekolah hanyalah sekadar memberi gambaran ringkas tentang perjuangan getir perwira negara dalam mencapai kemerdekaan. Ruang maklumat dan sejarah-sejarah yang dilupakan ini mampu menyemai sifat bangga dan memupuk semangat perpaduan negara tanpa mengira bangsa dan agama,” ujar Zakri.

 

“Memang wujud keperluan untuk menyemai minat terhadap sejarah dan memupuk sifat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama generasi muda. Saya begitu teruja dengan usaha sebegini, dan Allianz Malaysia begitu bangga bekerjasama dengan PUSAKA dalam mencapai impian sebegini,” tambah Zakri.

 

Selain dari penerbitan buku, Projek Bina Negara bakal menerbitkan siri video dan sesi perbincangan atas talian berkisar tentang 10 topik utama seperti yang direncana. Pendekatan sebegini bertujuan untuk menggalakkan penglibatan generasi muda, para pelajar, kumpulan sivil, pengamal media, wakil masyarakat, serta memperluas jaringan wacana dan renungan terhadap sejarah Malaysia.

 

Laman web rasmi projek ini, www.projekbinabangsa.com dilancarkan pada 17 Julai lalu yang menjadi sebuah wadah penerokaan pelbagai sisi sejarah Malaysia. - DagangNews.com