Pusat dialisis komuniti lapangan terbang di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA | DagangNews Skip to main content

Pusat dialisis komuniti lapangan terbang di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Julai Sebuah pusat dialisis akan dibina di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA (Masjid KLIA) bagi kemudahan komuniti sekitar Lapangan Terbang Antrabangsa KL (KLIA), khususnya pesakit buah pinggang.

 

Inisiatif itu adalah usaha sama di antara Malaysia Airports dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di bawah program tanggungjawab korporat Malaysia Airports, iaitu MYAirportCARES.

 

Pembangunan pusat dialisis itu dirasmikan di antara kedua-dua pihak dengan menandatangani dokumen usaha sama (MoC).

 

Majlis itu berlangsung di Masjid KLIA pada 28 Jun 2024. 

 

Menurut Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (Sepang) MA (Sepang) merangkap Nazir Masjid KLIA, Mohd Arif Jaafar berkata, “Masjid KLIA adalah sebuah masjid di bawah pengurusan MA (Sepang) dan idea bagi pembinaan pusat dialisis ini dicetuskan oleh Jawatankuasa Zakat Malaysia Airports yang bertanggungjawab mentadbir  peruntukan wakalah agihan zakat syarikat.

 

“Sebagai salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan, kami sentiasa cakna dengan keperluan komuniti setempat dan sentiasa berusaha untuk memastikan inisiatif-inisiatif tanggungjawab korporat kami dapat memberi impak yang signifikan kepada masyarakat setempat.”

 

“Kami difahamkan negeri Selangor mempunyai jumlah pesakit dialisis tertinggi iaitu seramai lebih 1,000 orang. Pewujudan pusat dialisis di Masjid KLIA sedikit sebanyak akan dapat membantu memenuhi keperluan pesakit, terutamanya kerana hanya caj rawatan minimum yang akan dikenakan kelak di pusat ini."

 

Peranan Malaysia Airports dalam insiatif itu adalah dalam penyediaan infrastruktur dan sokongan kewangan, manakala YIDE sebagai rakan kolaboratif utama akan menguruskan operasi pusat dialisis.

 

Sebanyak RM50,000.00 telah disumbangkan oleh Malaysia Airports kepada YIDE sebagai dana permulaan bagi pembinaan pusat dialisis itu, baki akan diperoleh daripada wakalah agihan zakat perniagaan dan tabung infaq ditempatkan di Masjid KLIA bermula 28 Jun 2024.

 

Majlis menandatangani dokumen usaha sama tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Besar YIDE, Mohd Arif Jaafar dan Nur Mohd Razali Abdullah, serta disaksikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Mohamed Rastam Shahrom dan Pengerusi YIDE, Tan Sri Mazlan Bin Mansor. - DagangNews.com