Pusat Konvensyen Kuala Lumpur - bangunan pertama di Malaysia dikuasakan oleh tenaga hijau | DagangNews Skip to main content

Pusat Konvensyen Kuala Lumpur - bangunan pertama di Malaysia dikuasakan oleh tenaga hijau

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Sept - Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mencatat kejayaan baharu dengan menjadi bangunan pertama di Malaysia dikuasakan oleh tenaga hijau.

 

Perkara itu direalisasikan menerusi Tarif Elektrik Hijau (GET) Kerajaan Malaysia dan Tenaga Nasional (TNB). 

 

Pusat konvensyen itu itu kini boleh menganjur kemudahan dan acara bertaraf dunianya dengan sumber tenaga boleh diperbaharui (RE), yang diperoleh daripada loji tenaga solar di bawah Program Suria Berskala Besar (LSS) Malaysia dan loji tenaga hidro dan tenaga boleh diperbaharui TNB.

 

Langganan GET ini menandakan kesungguhan KLCC menjadi venue karbon bersih-sifar menjelang 2030.

 

Pengurus Besar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, John Burke berkata, selaras dengan agenda kemampanan Malaysia dan prinsip panduan industri dan pemilik objektif pihaknya adalah untuk mengalihkan sekurang-kurangnya 25% tenaga yang digunakan kepada RE menjelang 2030, tetapi langganan GET membolehkan mereka mencapai sasaran itu dengan lebih pantas.

 

klcc
John Burke (enam dari kanan) berbangga dengan pencapaian baharu Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selepas kejayaan langgan perintis kepada Tarif Elektrik Hijau (GET).

 

Beliau berkata, menerusi langgan GET, pihaknya memastikan bahawa acara pelanggan akan dikuasakan oleh tenaga hijau, dan mereka terus berusaha untuk mencapai sasaran seterusnya iaitu mengurangkan penggunaan kuasa keseluruhan sebanyak 25% sebelum 2030.

 

"Langganan kami kepada GET membolehkan perancang acara bagi menganjurkan acara di KLCC dengan yakin selain mengetahui bahawa impak terhadap alam sekitar akan berkurangan secara mendadak.

 

"Pencapaian ini merupakan satu lagi langkah dalam menyelaraskan keupayaan kami bagi menyokong matlamat ESG pelanggan kami sendiri untuk menyampaikan acara yang mampan, menambah daya tarikan KLCC sebagai tempat pilihan untuk acara antarabangsa dan domestik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kemampanan merupakan tumpuan utama bagi KLCC dan mereka mempunyai Pasukan Petugas Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khusus bagi membimbing kemajuan kemampanannya.

 

Misi mereka adalah untuk menyokong penganjur persidangan dalam menyampaikan acara yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

 

Perjalanan ini telah merangkumi pelbagai inisiatif pengurangan sisa, program kitar semula yang meluas, usaha meminimumkan sisa makanan, pelaburan dalam teknologi pengkomposan makanan, pembangunan amalan penyumberan mampan, dan juga penubuhan ladang hidroponik di atas bumbung pusat konvensyen itu. - DagangNews.com