Pusat Konvensyen Kuala Lumpur lantik Tiffany Chung sebagai Pengarah Jualan dan Pemasaran | DagangNews Skip to main content

Pusat Konvensyen Kuala Lumpur lantik Tiffany Chung sebagai Pengarah Jualan dan Pemasaran

Tiffany Chung dilantik sebagai Pengarah Jualan dan Pemasaran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mengumumkan pelantikan Tiffany Chung sebagai Pengarah Jualan dan Pemasaran yang baharu. 

 

Menerusi peranan tersebut, Tiffany bertanggungjawab membangunkan dan melaksanakan strategi jualan, menguruskan pembangunan produk baharu, memacukan pembangunan perniagaan dan pertumbuhan hasil, menyeliakan kempen pemasaran dan menguruskan bakat. 

 

Tiffany membawa lebih 20 tahun pengalaman industri setelah memegang pelbagai jawatan penting dalam sektor perniagaan.

 

Beliau telah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Jualan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di mana Tiffany berjaya memacu pembangunan perniagaan baharu, mengetuai pasukan jualan dan menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan pusat.

 

Pengurus Besar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, John Burke berkata, pelantikan Tiffany dalam pasukan kepimpinan berdasarkan rekod kejayaannya dan pemahamannya yang mendalam terhadap industri, perniagaan dan budaya syarikat. 

 

"Kami yakin dengan keupayaannya untuk memimpin kami melalui fasa seterusnya.” ujar beliau dalam satu kenyataan 8 Ogos 2024. 

 

Tiffany menyertai Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada tahun 2013 sebagai Pengurus Tingkat Pameran dan kemudiannya memegang jawatan sebagai Pengurus Aras Pameran sebelum beliau dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jualan pada tahun 2017. 

 

Selain itu, Tiffany yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Pemasaran dari Universiti Oxford Brookes menggantikan Ravindran Sathiamoorthy yang telah bersara selepas 18 tahun berkhidmat sebagai Pengarah Jualan dan Pemasaran sejak 2020. 

 

Burke berkata, sepanjang perkhidmatan Ravi, beliau telah memainkan peranan penting dalam kejayaan pusat konvensyen itu.

 

"Daripada peranan awal beliau dalam Kewangan dan Pentadbiran sehingga berpindah ke Jualan dan Pemasaran pada 2018, Ravi sentiasa memacu pertumbuhan perniagaan, dan membantu mencipta produk yang memenangi anugerah," ulas beliau.- DagangNews.com