Pusat Latihan Robotik Keeogo ASEAN pertama di Malaysia bantu rehabilitasi pesakit neurologi | DagangNews Skip to main content

Pusat Latihan Robotik Keeogo ASEAN pertama di Malaysia bantu rehabilitasi pesakit neurologi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Julai - B-Temia Asia Pte. Ltd (BTA) dengan kerjasama Wistron Medical dan Rehabotics Medtech telah membuka Pusat Latihan Robotic (RTC) Keeogo ASEAN pertama di Malaysia bagi meningkatkan kadar keselamatan mereka yang mengalami masalah neurologi.

 

Lonjakan dalam masalah kesihatan seperti angin ahmar dan kecederaan saraf tunjang di seluruh dunia menyaksikan keperluan terhadap teknologi pemulihan dalam pasaran fisioterapi.

 

Menerusi kerjasama B-Temia Asia, Wistron Medical, dan Rehabotics Medtech, mereka berhasrat untuk membuka lebih banyak RTC di seluruh negara bagi memudahkan akses teknologi pemulihan bagi pesakit angin ahmar dan kecederaan saraf. 

 

Bermula dengan pusat pertama di PJ Midtown Petaling Jaya, ketiga-tiga syarikat ini bertekad mewujudkan persekitaran pemulihan yang positif dengan tawaran teknologi robotik dan peranti perubatan yang terbaik.

 

Presiden BTA, Donald Huang berkata, tanpa sebarang penjagaan teliti pesakit boleh hilang upaya untuk bergerak sendiri dan akan menjejaskan kehidupan mereka dan keluarga.

 

"Pusat-pusat RTC ini akan dilengkapi pelbagai teknologi pemulihan yang bertujuan menyediakan penjagaan dan keselamatan pesakit bagi membantu mereka pulih lebih cepat, dan memberi mereka sinar harapan untuk melangkah ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

fisio

 

Pengarah Urusan dan Pemegang Saham Rehabotics Medtech, serta Pengarah Urusan Keeogo Malaysia, Yee King Hwa berkata, pihaknya ingin menjadikan proses pemulihan lebih ringkas dan mudah diakses oleh semua golongan di negara ini.

 

"Kami berazam membuka satu lembaran baharu dalam rehabilitasi robotik di sini, bagi memacu kehidupan dan penjagaan kesihatan negara ke arah yang lebih baik," katanya.

 

fisio

 

Antara produk yang digunakan untuk proses pemulihan di pusat berkenaan termasuk Dermoskeleton yang dilengkapi Ortosis bermotor pintar bagi membantu pesakit yang mengalami masalah mobiliti anggota bawah memulihkan keupayaan bergerak dan berjalan.

 

Selain itu penggunaan Mirror Hand adalah bagi membantu pesakit yang mengalami gangguan neuromuskular serta penyakit-penyakit yang menyebabkan kehilangan fungsi tangan secara kekal. 

 

fisio

 

Rangka tangan boleh pakai tersebut akan membimbing tangan yang terjejas bagi melatih pergerakan asas dengan terapi cermin, lebih menarik, ia melatih pengguna untuk berinteraksi dengan objek sebenar dengan menyatukan gerakan berterusan pasif (CPM) dengan mekanisme latihan dua hala.

 

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari https://keeogo-malaysia.com/ atau https://rehaboticsmedtech.com/ atau https://en.wistronmedtech.com/ atau https://keeogo.com/. - DagangNews.com