Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia ditubuhkan di MIDA, bertujuan kurangkan karenah birokrasi kepada komuniti perniagaan dan pelabur | DagangNews Skip to main content

Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia ditubuhkan di MIDA, bertujuan kurangkan karenah birokrasi kepada komuniti perniagaan dan pelabur

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Nov - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menubuhkan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (Invest Malaysia Facilitation Centre atau IMFC) yang bersifat sebagai pusat sehenti bagi hal-hal berkaitan pelaburan di Ibu Pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 

Penubuhan IMFC adalah untuk memudahcara urusan komuniti perniagaan dan para pelabur dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan terpilih.

 

IMFC merupakan penambahbaikan kepada pusat khidmat nasihat sedia ada di MIDA dan penubuhannya secara fizikal adalah bertujuan untuk mempercepatkan pelbagai proses kelulusan termasuk memberi khidmat rundingan serta nasihat sekaligus mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam, selaras dengan saranan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia; keputusan Majlis Jemaah Menteri pada 3 November 2023; dan aspirasi ekonomi MADANI untuk memudahcara perniagaan khususnya investor’s journey di pelbagai peringkat.

 

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, berdasarkan keadaan semasa, perkhidmatan rundingan serta memudahcara yang dilaksanakan secara fizikal dan bersemuka ini bakal memberi kesan serta impak yang positif, selain dapat meningkatkan keyakinan para pelabur dan pemain-pemain industri.

 

Katanya, inisiatif untuk mengumpulkan pelbagai kementerian dan agensi Kerajaan serta pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung ini juga merupakan langkah penting dalam mendokong hasrat Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 yang berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mesra pelabur dan mesra perniagaan yang terunggul di rantau ini.


 

 Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz
                        Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz

 


Pelaksanaan IMFC ini akan dijayakan berdasarkan konsep seluruh-Kerajaan dan akan disokong secara langsung oleh beberapa kementerian dan agensi yang berkepentingan, iaitu:

 

(a) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM);
(b) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM);
(c) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM);
(d) Jabatan Tenaga Kerja (JTK);
(e) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Syarikat Telekomunikasi;
(f) Tenaga Nasional Berhad (TNB); dan
(g) lain-lain kementerian dan agensi tertakluk kepada keperluan semasa.

 

Tengku Zafrul berkata, MITI dan agensinya MIDA mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan yang berterusan bagi menyediakan perkhidmatan yang efektif dan efisien kepada para pelabur dan komuniti perniagaan dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan terpilih di Malaysia.

 

MITI juga komited untuk menambahbaik kemudahan serta fasilitasi sedia ada di bawah MIDA dalam usaha untuk memudahcara pelaburan.

 

Salah satu inisitiatif sedia ada di bawah MIDA adalah penubuhan Pejabat Pelaksanaan Projek dan Fasilitasi (TRACK) pada tahun 2020.

 

TRACK merupakan platform pemudahcara bagi kesemua projek pelaburan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) dalam memastikan projek-projek yang diluluskan dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.

 

Sejak penubuhan TRACK, kadar peratusan pelaksanaan projek-projek yang diluluskan telah meningkat melebihi 80 peratus, bagi tempoh Januari 2016 hingga Jun 2023.

 

Tengku Zafrul  berkata, melalui inisiatif sedia ada TRACK dan penubuhan IMFC secara fizikal, MITI yakin Malaysia akan kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih untuk syarikat-syarikat global dunia; menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi kepada rakyat, seterusnya menerajui dan merancakkan pembangunan ekonomi, serta kemakmuran negara. - DagangNews.com