Pusat Pembelajaran UEM Edgenta di Petaling Jaya jadi PPV dos penggalak | DagangNews Skip to main content

Pusat Pembelajaran UEM Edgenta di Petaling Jaya jadi PPV dos penggalak

Pusat Pembelajaran UEM Edgenta (UELC) terletak di 5A, Jalan 51/217, Off Jalan Templer, Petaling Jaya, 46050, Petaling Jaya, Selangor.

 


PETALING JAYA 24 Nov - UEM Edgenta Bhd menempatkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kemudahan latihannya di Pusat Pembelajaran UEM Edgenta (UELC) di Jalan Templer di sini untuk orang ramai menerima dos penggalak vaksin COVID-19.

 

Diadakan dengan kolaborasi bersama ProtectHealth, Kementerian Kesihatan (KKM) dan disokong oleh U.N.I.Klinik, PPV tersebut beroperasi dari 9 pagi hingga 4 petang dan ditutup pada Sabtu dan Ahad.

 

Pengarah Urusan/CEO UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, pihaknya mengalu-alukan orang ramai datang ke PPV tersebut untuk mendapatkan suntikan dos penggalak, sebagai sebahagian komitmen berterusan syarikat itu membantu kerajaan ke arah pembukaan semula secara selamat.

 

“Dengan aktiviti ekonomi semakin memulih dan pemansuhan larangan merentas negeri, lokasi kami yang strategik dan ideal berdekatan dengan kawasan perumahan juga berguna kepada penduduk Lembah Klang,'' katanya.


 

uem edgenta
Orang ramai menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan dos penggalak COVID-19 di UELC, Petaling Jaya.

 

 

Orang ramai perlu memeriksa MySejahtera bagi mengesahkan temujanji manakala kaedah terus masuk di PPV adalah berdasarkan `siapa datang dulu dapat' bergantung kepada bilangan dos penggalak yang ada pada hari itu.

 

Terdahulu, UEM Edgenta `menukar' UELC yang merupakan kemudahan latihan dan pembangunan kakitangan menjadi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) swasta dikendali oleh QuickMed, sebelum ditukar pula menjadi PPV bagi golongan muda berusia 12 hingga 15 tahun.

 

CAC swasta berkenaan telah memeriksa hampir 4,000 pesakit COVID-19 sepajang tiga bulan ia beroperasi dan sehingga kini, seramai 25,718 individu sudah menerima suntikan vaksin di UELC PPV. – DagangNews.com