Pusat Penempatan Pekerjaan ditubuhkan berperingkat di setiap negeri | DagangNews Skip to main content

Pusat Penempatan Pekerjaan ditubuhkan berperingkat di setiap negeri

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Mac - Pusat Penempatan Pekerjaan (NPC) akan ditubuhkan secara berperingkat di setiap negeri bagi menyokong usaha kerajaan untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, syarikat-syarikat yang ingin menawarkan peluang pekerjaan boleh menggunakan pusat sehenti itu untuk bertemu dengan pencari kerja, menyediakan program latihan kemahiran dan pembangunan kemahiran serta menawarkan penempatan pelatih atau latihan praktikal.

 

Beliau berkata, NPC juga akan menyediakan kemudahan berkaitan dengan proses pengambilan pekerja yang akan memudahkan majikan serta rakyat Malaysia, antaranya bertemu dengan kaunselor kerjaya untuk mendapatkan penilaian kerjaya, maklumat lanjut untuk mencorak laluan kerjaya serta kursus pembangunan kemahiran yang boleh disertai untuk mereka kekal berpengetahuan dan berkemahiran.

 

"Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan mengenai penubuhan NPC semasa Mesyuarat Majlis Pekerjaan Negara Bil. 1 2022 semalam. 

 

"NPC ini akan ditubuhkan secara berperingkat di setiap negeri di Malaysia yang mana pusat ini akan dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Saravanan berkata, selain itu, individu yang melawat pusat itu juga boleh membuat pendaftaran di portal MYFutureJobs untuk mendapatkan akses yang lebih luas kepada peluang pekerjaan di seluruh negara. 

 

"Menerusi portal ini, individu boleh mencari dan memohon pekerjaan yang sesuai dengan pengalaman, minat dan kelayakan mereka menerusi bimbingan wakil sokongan di pusat tersebut.

 

 

sara
Datuk Seri M. Saravanan

 

 

"Dengan adanya pusat sokongan menyeluruh secara fizikal dan atas talian di pelbagai negeri seperti NPC ini, saya percaya bahawa rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang dan kebolehan akan mendapat peluang yang terbaik mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian," katanya.

 

 

Katanya, KSM juga komited untuk memastikan usaha kerajaan ini berjalan lancar dan seterusnya akan mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia tahun ini. 

 

"Ini kerana agenda pembangunan bakat, penciptaan pekerjaan dan kelangsungan serta peningkatan taraf hidup rakyat menjadi keutamaan kementerian," katanya. - DagangNews.com