Q2: Peruntukan kepentingan bukan kawalan, sukuk heret Boustead kembali catat kerugian  | DagangNews Skip to main content

Q2: Peruntukan kepentingan bukan kawalan, sukuk heret Boustead kembali catat kerugian 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Boustead Holdings Berhad kembali mencatatkan kerugian bersih RM7.3 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) setelah mengambil kira peruntukan untuk kepentingan bukan kawalan dan pemegang sukuk kekal kumpulan.

 

Sebagai rekod, Boustead berjaya untuk kembali mencatatkan keuntungan pada 1QFY21 bernilai RM43.10 juta yang dipacu oleh hasil pelupusan hotel Royale Chulan Bukit Bintang (RCBB).

 

Bagaimanapun, menurut kumpulan, kerugian bersih bagi suku tahun semasa menyusut 90% berbanding tempoh sama pada tahun lalu, RM73.7 juta. 

 

Tanpa mengambil kira kedua-dua peruntukan tersebut, kumpulan menyaksikan keuntungan selepas cukai dan zakat bernilai RM42.6 juta bagi tempoh berkenaan. 

 

“Bagi 2QFY21 yang berakhir 30 Jun 2021, kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBT) berjumlah RM81.2 juta berbanding kerugian sebelum cukai dan zakat (LBT), RM57.4 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

 

“Prestasi yang meningkat itu dipacu oleh sumbangan lebih baik daripada semua segmen perniagaan kumpulan. 

 

“Keuntungan itu juga disokong oleh prestasi lebih baik daripada syarikat bersekutu dan usaha sama serta keuntungan daripada pelupusan pelaburan hartanah bernilai RM13.1 juta,” jelas Boustead dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.

 

Bagi prestasi enam bulan pertama FY21 (6MFY21), kumpulan sebaliknya mencatatkan keuntungan bersih bernilai RM35.8 juta, berbanding RM146.7 juta kerugian bersih yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam tempoh berkenaan, kumpulan mencatatkan PBT bernilai RM202.5 juta berbanding LBT RM110.7 juta yang dicatatkan pada 6MFY20.

 

Tambah Boustead, kesemua segmen perniagaan terutamanya Perladangan serta Perdagangan, Kewangan dan Pelaburan mencatatkan penambahbaikan.

 

Lembaga Pengarah Boustead tidak mengumumkan sebarang dividen bagi suku tahun semasa.  - DagangNews.com