Qalbox, Durioo+ dan IKIM jalin kerjasama siar kandungan sempena Ramadan kepada penonton seluruh dunia | DagangNews Skip to main content

Qalbox, Durioo+ dan IKIM jalin kerjasama siar kandungan sempena Ramadan kepada penonton seluruh dunia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Qalbox oleh Muslim Pro, sebuah platform SVOD global, mengumumkan kerjasama dengan Durioo+, pembekal kandungan Islam yang terkenal dengan fokus kepada hiburan mesra kanak-kanak Muslim dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), salah satu rangkaian Islam terkemuka di Asia.

 

Qalbox memaklumkan, kerjasama itu sebagai langkah strategik yang direka untuk meningkatkan pengalaman hiburan bagi keluarga Muslim semasa Ramadan. 

 

Katanya, Durioo+ memperkenalkan rancangan yang disesuaikan dengan keperluan pendidikan dan hiburan bagi keluarga Muslim. 

 

Sementara itu katanya, IKIM menyumbangkan pelbagai kandungan termasuk dokumentari, siri pendidikan dan program yang menampilkan ulama terkemuka, menawarkan pemahaman lebih mendalam tentang prinsip-prinsip asas Islam kepada penonton.

 

"Melayani permintaan yang semakin meningkat untuk hiburan yang selari dengan prinsip-prinsip Islam, Qalbox komited untuk menyampaikan kandungan yang bermakna secara rohani buat pengguna mereka dalam menjalani bulan Ramadan yang suci," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Ketua Pegawai Strategi, Muslim Pro dan Qalbox, Fara Abdullah berkata, menerusi kerjasama dengan organisasi terkemuka seperti Durioo+ dan IKIM, ia membolehkan pihaknya menyajikan pelbagai program  memenuhi keperluan pendidikan dan hiburan bagi keluarga Muslim.

 

"Ia bukan hanya di Malaysia tetapi juga diperingkat global, sambil memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang nilai-nilai Islam, lebih-lebih di bulan yang suci ini," katanya.

 

Pengasas Durioo+, Sinan Ismail pula berkata,  sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, pihaknya bertekad untuk memperkaya pengalaman menonton Qalbox Ramadan dengan rangkaian kandungan kanak-kanak yang menarik. 

 

Katanay, pilihan terpilih itu merangkumi rancangan popular seperti Little Ammar, dan Mina & Mila, yang menyentuh aspirasi keluarga Muslim untuk hiburan dan pendidikan.

 

"Kerjasama dengan Qalbox sejajar dengan misi kami untuk menyediakan kandungan yang berkualiti tinggi, menghibur dan mendidik yang memupuk nilai-nilai dan tradisi Islam. Rancangan kami direka untuk membangkitkan rasa ingin tahu kanak-kanak dan menginspirasi kecintaan untuk mempelajari agama mereka dengan cara yang menyeronokkan dan menarik. 

 

"Kami yakin kerjasama ini akan menyumbang kepada pengalaman Ramadan yang mengperkayakan penonton di Qalbox and Durioo+. Kerjasama ini juga melayakkan pengguna Qalbox mendapat harga istimewa untuk langganan kepada pengalaman penuh Durioo+," katanya.

 

Pengarah Pusat Media IKIM, Ahmad Fuad Mat Ali berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjalin kerjasama dengan Qalbox bagi menyediakan sumber bernilai kepada penonton yang ingin memperkukuhkan landasan rohani mereka dan menjalani Ramadan dengan cara bermakna. 

 

"Sumbangan kami kepada senarai Ramadan Qalbox mencerminkan komitmen kami untuk mempromosikan pemahaman yang lebih mendalam tentang prinsip-prinsip asas Islam dalam kalangan komuniti Muslim global," katanya.
 - DagangNews.com