QES Group bina kilang bernilai RM40 juta, dijadual mula beroperasi suku keempat 2024  | DagangNews Skip to main content

QES Group bina kilang bernilai RM40 juta, dijadual mula beroperasi suku keempat 2024 

Majlis pecah tanah projek pembinaan kilang QES 2@BKIP di Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Jan - QES Group Bhd. menerusi anak syarikatnya, QES Mechatronic Sdn. Bhd. akan membina sebuah kilang di Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP), Pulau Pinang melibatkan pelaburan sebanyak RM40 juta.

 

Menurut QES Berhad, jumlah tersebut meliputi kos tanah, pembinaan dan kemudahan di kilang tersebut yang dijangka menyediakan kira-kira 100 peluang pekerjaan di pelbagai peringkat daripada jurutera, juruteknik sehingga tenaga kerja di bahagian pentadbiran.

 

"Kilang ini terletak di kawasan seluas 87,120 kaki persegi dengan anggaran kawasan binaan seluas 83,488 kaki persegi yang dijangka bakal memulakan operasi pada suku keempat tahun 2024," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

QES Group berkata, majlis pecah tanah projek tersebut telah berlangsung hari ini yang dirasmikan oleh Pengarah Urusan QES Group, Chew Ne Weng dan turut dihadiri pengurusan kanan syarikat.

 

"Kilang ini, QES 2@BKIP akan menggandakan kapasiti pengeluaran QES di samping menempatkan pejabat Applied Engineering Technology (M) Sdn. Bhd., syarikat usaha sama dengan rakan perniagaan dari Amerika Syarikat (AS) iaitu Applied Engineering Inc," jelasnya.

 

qes
Pengarah Urusan QES Group, Chew Ne Weng

 

Sementara itu, Ne Weng berkata, majlis pecah tanah projek pembinaan kilang baharu hari ini adalah langkah penting dalam mengukuhkan reputasi QES sebagai peneraju global dalam industri pembuatan untuk peralatan pemeriksaan dan mesin pengendalian automatiknya.

 

Di samping itu, menurut beliau, perkembangan ini juga mencerminkan pertumbuhan global jangka panjang dalam permintaan untuk industri semikonduktor.

 

"QES mempunyai kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang daripada pengembangan ini sambil memanfaatkan ekosistem industri di Batu Kawan.

 

"QES 2@BKIP menunjukkan bahawa QES komited dalam memacu usaha meningkatkan permintaan kapasiti, kesinambungan perniagaan serta menyediakan pelan strategik mitigasi risiko kepada Bahagian Pembuatan kami,” katanya. - DagangNews.com