KUALA LUMPUR 3 Julai - Kerajan Sabah, menerusi cabang pelaburan strategiknya Qhazanah Sabah Bhd (QSB), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pemaju hartanah Berjaya Land Bhd (BLand) untuk meneroka kemungkinan pemindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kimanis.
Menurut syarikat berkenaan MoU itu merangkumi pemindahan KKIA yang melibatkan pembinaan dan pembangunan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kimanis serta pelan pembangunan mampan yang dilaksanakan di Kimanis atau di mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai oleh kerajaan Sabah.
“Sebuah syarikat tujuan khas akan melaksanakan projek yang dicadangkan setelah selesai kajian terperinci teknikal dan kemungkinan kewangan pelan perniagaan
Sebuah syarikat tujuan khas akan melaksanakan projek yang dicadangkan setelah selesai kajian terperinci teknikal dan kemungkinan kewangan, pelan perniagaan strategik dan cadangan pemodelan kewangan yang akan dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama, Bernama melaporkan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan QSB Ahmad Rizal Dahli berkata syarikat itu telah ditugaskan untuk meneliti pelbagai inisiatif pembangunan strategik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah, termasuk kemungkinan pemindahan KKIA ke Kimanis.
Beliau berkata MoU itu mewujudkan kerjasama awal antaranya dan BLand, membuka jalan kepada QSB untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan kerja-kerja penerokaan bagi projek yang dicadangkan itu.
"Penempatan semula KKIA telah dicadangkan dalam pelbagai perbincangan secara menyeluruh selama sedekad. MoU ini membolehkan kita melihat perkara ini dengan lebih terperinci, terutamanya dari segi daya maju ekonomi dan penilaian impak sosial.
"Kami tidak sabar untuk memanfaatkan kepakaran yang dibawa oleh perkongsian awal dengan BLand, khususnya mengenai pembangunan infrastruktur," katanya.
Ahmad Rizal berkata KKIA tidak mungkin dapat diperbesarkan lagi dari segi operasi, termasuk pembesaran bangunan terminal dan landasan serta kemudahan lain, kerana keluasan tanah yang terhad dan lokasi semasanya, yang dikelilingi oleh tanah milik persendirian dan berhampiran dengan pusat bandar Kota Kinabalu.
“Kedekatan itu boleh menjadi salah satu faktor risiko kelewatan pembangunan pusat bandar berikutan peraturan dan sekatan yang ditetapkan disebabkan mempunyai lapangan terbang berdekatan.
"Penempatan semula KKIA ke Kimanis, sebaliknya, boleh menjadikan lapangan terbang itu mempunyai lebih daripada satu bangunan terminal dan landasan,” jelasnya. - DagangNews.com