QL Resources dijangka memiliki prospek positif bagi FY24, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

QL Resources dijangka memiliki prospek positif bagi FY24, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan QL Resources Berhad mempunyai prospek positif pada tahun fiskal 2024 (FY24).

 

Firma itu berkata, pertumbuhan syarikat itu akan dibantu oleh pengembangan berterusan dalam bahagian pembuatan produk marin (MPM) dan penternakan bersepadu (ILF).

 

"Ini akan mengimbangi potensi kelemahan dalam segmen minyak sawit dan tenaga bersih (POCE) dan pemulihan rangkaian kedai serbaneka (CVS) yang hambar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, walaupun berdepan ketidaktentuan berterusan dalam purata harga jualan (ASP) bahan mentah makanan (jagung dan kacang soya), mereka percaya mekanisme lulus kos kumpulan bagi segmen ILF lebih cekap selepas kawalan harga telur ditarik balik mulai akhir Jun 2023.

 

Katanya, dinamik permintaan-bekalan juga akan bertambah baik seiring dengan harga jualan purata telur yang stabil dalam jangka sederhana.

 

"Kumpulan itu masih dalam proses melupuskan operasi minyak sawitnya di Tawau dan Indonesia.

 

"Walaupun terdapat tanda-tanda peningkatan jualan secara beransur-ansur dalam segmen CVS, kami menjangkakan pemulihan akan perlahan memandangkan permintaan masih belum cukup baik untuk kedainya kembali beroperasi 24 jam," katanya.

 

Firma itu percaya, segmen MPM kumpulan mungkin mengalami pemampatan margin pada suku keempat FY23 memandangkan tangkapan ikan yang lebih rendah daripada keadaan cuaca yang tidak baik dan gangguan perayaan.

 

Katanya, penarikan kawalan harga ayam itik pada akhir bulan Jun sepatutnya menghapuskan turun naik selanjutnya daripada turun naik bahan mentah.

 

Firma itu menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'pegang' berbanding 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM5.90 sesaham. - DagangNews.com