QL Resources mampu catat prestasi kukuh pada suku ketiga FY23, kata RHB Research | DagangNews Skip to main content

QL Resources mampu catat prestasi kukuh pada suku ketiga FY23, kata RHB Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Nov - RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap QL Resources Bhd. dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM5.60 daripada RM5.31 sesaham sebelum ini selepas kumpulan melaporkan prestasi kewangan separuh pertama yang memenuhi unjuran firma. 

 

Keuntungan bersih teras sebanyak RM176 juta yang meningkat 100% tahun ke tahun, adalah merangkumi 59% daripada unjuran firma dan konsensus berikutan margin yang lebih baik daripada jangkaan.

 

Ini mendorongnya menyemak naik hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) hingga FY25 sebanyak 6 hingga 9%.

 

Menurut firma itu, momentum yang kukuh itu dijangka berterusan sehingga suku ketiga FY23 memandangkan corak perniagaan segmen pembuatan produk marin kumpulan dan harga produk penternakan bersepadu kekal tinggi dalam pasaran utama.

 

Katanya, risiko pendapatan bagi penternakan bersepadu yang kukuh berkurangan pada suku keempat, dengan mengambil kira kitaran dan turun naik harga dalam industri ternakan.

 

"Pada masa sama, segmen kedai serbaneka kumpulan pula terus berkembang disokong pengembangan cawangan FamilyMart dan pemulihan langkah seiring dengan pembukaan semula ekonomi yang lebih luas.

 

"Semua ini akan menyokong pertumbuhan pendapatan FY23 yang diramalkan sebanyak 51%, pada pandangan kami," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Keuntungan bersih QL Resources bagi suku kedua berakhir 30 September 2022 meningkat 104% kepada RM93.9 juta daripada RM45.94 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun kewangan 2022, didorong jualan lebih tinggi di seluruh segmen perniagaan.

 

Perolehan pula meningkat sebanyak 31% kepada RM1.64 bilion daripada RM1.25 bilion bagi tempoh yang sama dengan jualan segmen pembuatan produk marin menokok 24% pada suku berkenaan.

 

Sementara itu, jualan segmen penternakan bersepadu meningkat 30%, disokong oleh jumlah dan harga dagangan bahan mentah makanan yang tinggi serta harga jualan hasil ladang yang lebih tinggi.

 

Segmen rantaian kedai serbaneka pula menyaksikan jualannya melonjak 57%, dipacu oleh pembukaan 70 lagi cawangan baharu dan jualan purata lebih tinggi bagi setiap cawangan

 

Setakat 11.21 pagi, harga saham QL Resources menokok 12 sen atau 2.17% kepada RM5.65 dengan 671,900 saham diniagakan. -DagangNews.com