QuickMed Edgenta penggerak Pusat Penilaian COVID-19 swasta pertama negara | DagangNews Skip to main content

QuickMed Edgenta penggerak Pusat Penilaian COVID-19 swasta pertama negara

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Selaras dengan matlamat untuk membina daya tahan industri,  UEM Edgenta Bhd (UEM Edgenta) telah mengukuhkan sokongan terhadap usaha pemulihan negara melalui penyelesaian penjagaan kesihatannya yang mampan dan inovatif, iaitu QuickMed.

 

QuickMed adalah penyelesaian penjagaan kesihatan digital berasaskan awan dan bertindak sebagai nadi penggerak utama Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) swasta yang pertama di Malaysia di UEM Edgenta Learning Centre (UELC), Petaling Jaya.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, beliau yakin bahawa penyelesaian penjagaan kesihatan perlu dirancang dan dilaksanakan secara mampan untuk jangka panjang.

 

“Oleh itu, kami gembira dapat meneruskan sokongan dalam memerangi COVID-19 dengan QuickMed, platform pengurusan penjagaan kesihatan digital dalaman kami, terutamanya berikutan lonjakan kes harian baru-baru ini, dengan yang tertinggi direkodkan di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Dilancarkan baru-baru ini bersama platform ekosistem digital pertama UEM Edgenta  –  Edgenta NXT, QuickMed  telah bergerak pantas untuk bersama-sama memerangi pandemik COVID-19 dengan membolehkan tempahan ujian saringan COVID-19 dibuat secara pandu lalu di dua fasilitinya yang terletak di Petaling Jaya, termasuk satu di UELC.

 

 

Syahrunizam Samsudin
Syahrunizam Samsudin

 

 

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Mohd Shafiq Abdullah dalam ucapannya pada majlis itu berkata bahawa usaha membangunkan teknologi tempatan bagi industri penjagaan kesihatan harus dilihat sebagai sumbangan strategik penting kepada ekonomi negara.

 

Pusat penilaian CAC swasta itu pada masa ini menyediakan perkhidmatan saringan yang menyeluruh, termasuk penilaian COVID-19, program kuarantin di rumah, perintah pelepasan kuarantin, serta ujian saringan secara pandu lalu dan secara jumpa terus. Pesakit COVID-19 akan dinilai sebelum dihantar ke hospital, pusat kuarantin dan rawatan COVID-19, atau diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing. - DagangNews.com