Radiant Globaltech berhasrat beli Grand-Flo Spritvest bernilai RM11.6 juta | DagangNews Skip to main content

Radiant Globaltech berhasrat beli Grand-Flo Spritvest bernilai RM11.6 juta

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Syarikat pembekal teknologi sektor peruncitan, Radiant Globaltech Berhad (Radiant Globaltech) berhasrat untuk mengambil alih 80% pemegangan saham Grand-Flo Spritvest Sdn Bhd (GF Spritvest) yang bernilai RM11.6 juta. 

Cadangan itu dilakukan bertujuan mengembangkan liputan pelanggan domestik Radiant Globaltech selain meningkatkan rangkaian perisian dan perkhidmatan lain kepada pelanggannya.

Radiant Globaltech menerusi pengumuman syarikat Bursa Malaysia berkata, pihaknya telah menandatangani perjanjian penjualan saham bersyarat (SSA) dengan syarikat induk GF Spritvest, Grand-Flo Berhad (Grand-Flo) yang mencadangkan pengambilalihan 800,000 saham, mewakili 80% modal saham GF Spritvest.

“Sebanyak 20% baki saham dipegang oleh syarikat Jejaka 7 Capital Sdn. Bhd., di mana Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif GF Spritvest, Cheng Ping Liong memiliki majoriti ekuiti sebanyak 55%.

“Dalam masa sama, GF Spritvest juga terlibat dalam perjanjian perkhidmatan dengan Ping Liong untuk meneruskan khidmat sebagai Pengarah dan CEO syarikat itu. Kelak, Ping Liong perlu menyediakan jaminan keuntungan bersih kumulatif sebanyak RM3.2 juta dari tarikh lengkap SSA sehingga penghujung tahun kewangan 31 Disember 2020,” kata Radiant Globaltech. 

GF Spritvest menawarkan penyelesaian Pengambilan dan Pengumpulan Data Elektronik (EDCC) yang membolehkan syarikat menguruskan dan mengumpul data menggunakan kos pengimbas serta teknologi pengenalan frekuensi radio (RFID). 

Pelanggannya merangkumi syarikat terkemuka dalam industri barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dan elektronik, serta syarikat milik kerajaan (GLC) di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Radiant Globaltech, Paul Yap Ban Foo berkata, menerusi pengambilalihan itu, pihaknya dapat menggabungkan sumber bagi mengembangkan penyelesaian teknologi untuk digitalisasi operasi pelanggan.

“Pengambilalihan ini sesuai dengan strategi kami untuk memperkukuhkan pangkalan pelanggan industri untuk melengkapkan pemegangan kami dalam pasaran pemain industri runcit,” katanya dalam kenyataan sama. - DagangNews.com