Raja Ahmad Hidzir diiktiraf sebagai Ikon Modal Insan Malaysia 2024 ETHRWorld Asia Tenggara  | DagangNews Skip to main content

Raja Ahmad Hidzir diiktiraf sebagai Ikon Modal Insan Malaysia 2024 ETHRWorld Asia Tenggara 

Raja Ahmad Hidzir Raja Muhamad
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Feb - Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Pos Malaysia Bhd, Raja Ahmad Hidzir Raja Muhamad dinamakan sebagai salah seorang Ikon Modal Insan Malaysia 2024 oleh ETHRWorld Asia Tenggara.

 

Pos Malaysia berkata, kerjaya beliau bermula di Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), sebuah anak syarikat DRB-Hicom Bhd, dan pelbagai syarikat lain sebelum ini. 

 

Pada penghujung 2022 katanya, beliau menyertai Pos Malaysia disebabkan tertarik dengan perjalanan transformasi terbaharu syarikat tersebut.

 

"Sepanjang karier beliau, Raja berjaya menangani pelbagai cabaran dalam penglibatan pekerja, mengemudi perubahan organisasi dan memupuk budaya tempat kerja yang positif. 

 

"Kejayaan Raja merangkumi aspek-aspek nilai seperti kejujuran, disiplin dan positif, yang sentiasa menjadi panduan inspirasi kerjaya beliau.

 

"Dalam peranannya di Pos Malaysia, Raja menekankan nilai-nilai seperti komunikasi yang telus, kesesuaian budaya dan penjajaran nilai dalam proses strategik pengambilan dan pengekalan kakitangan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut Pos Malaysia, gaya kepimpinan beliau menggalakkan persekitaran tempat kerja inklusif dan berkembang maju, yang mana menyumbang kepada skor penglibatan kakitangan yang luar biasa iaitu sebanyak 76% pada 2023 melalui Kyzense, aplikasi mudah alih penglibatan pekerja dibangunkan Pos Malaysia. 

 

"Komitmen Raja melangkaui polisi pekerja. Malah, beliau memberi tumpuan kepada nilai seperti saling hormat menghormati, saling bertanyakan kesejahteraan pekerja  dan mengamalkan budaya maklum balas terbuka, yang menyumbang kepada aspek kerjasama modal insan di Pos Malaysia yang luar biasa," katanya.

 

Katanya, perjalanan transformasi budaya Pos Malaysia ke arah kecemerlangan penglibatan kakitangan, dicontohi program inovatif ‘Certified Wira Programme’– satu usaha berwawasan yang direka untuk memberi inspirasi dan memperkasakan setiap kakitangan Pos Malaysia. 

 

Program ini juga merevolusikan cara kakitangan Pos Malaysia melihat diri dan peranan mereka dalam organisasi, katanya.

 

"Ia juga menekankan komitmen teguh organisasi untuk membentuk semula budayanya, memupuk penglibatan, menyampaikan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan dan mencapai hasil luar biasa dalam landskap dunia moden yang berubah pantas," katanya.

 

Katanya, melalui tumpuan pada kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan, Pos Malaysia mempertahankan reputasinya sebagai penyedia perkhidmatan yang dipercayai. 

 

Tambahnya, ia terbukti dalam tinjauan Cabaran Kurier MCMC, yang mana Pos Malaysia mencapai 96% dalam 'prestasi penghantaran terjamin,' melepasi purata industri sebanyak 78%. - DagangNews.com