Raja Muda Selangor berkenan kurnia ijazah kepada 1,000 graduan UPM | DagangNews Skip to main content

Raja Muda Selangor berkenan kurnia ijazah kepada 1,000 graduan UPM

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah

SERDANG 21 Mac - Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan ijazah kepada 1,000 graduan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45 di sini.

 

Baginda yang juga Pro Canselor UPM mengurniakan ijazah antaranya kepada graduan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan,  Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Fakulti Sains, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan. 

 

Dalam pada itu, Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman ketika berucap pada istiadat yang berlangsung di Dewan Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah universiti itu mahu setiap graduan bersikap profesional, beretika dan beramanah dalam sebarang tuntutan pekerjaan.

 

Beliau berkata, setiap graduan perlu memiliki nilai ihsan yang menebal dalam diri supaya dapat menzahirkan nilai integriti melalui sikap serta tindakan.

 

“Tunjukkanlah kepada masyarakat bahawa graduan UPM bukan sahaja hebat dalam akademik malah hebat dari aspek sahsiah,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ravichandaran Tharumalingan, alumni UPM bakal kibar bendera universiti di puncak Everest

 

Istiadat konvokesyen yang bermula 19 Mac hingga 24 Mac itu melibatkan seramai 6,142 graduan merangkumi 484 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (1,611), Sarjana Muda (3,564) dan Diploma (483).

 

Mohd Roslan berkata graduan UPM perlu memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk menjadi warganegara yang baik demi Malaysia tercinta.

 

“Ikutlah resam padi, semakin berisi semakin tunduk. Sematkan juga semangat ‘berilmu berbakti’ dalam diri untuk membuktikan bahawa graduan UPM sememangnya berkualiti,” katanya.


 

UPM

 


Menurutnya, UPM akan terus memberi penerapan kemahiran insaniah kepada semua pelajar dengan memberi bimbingan agar graduan yang dilahirkan berketrampilan, berjiwa kentral serta berakhlak murni.

 

“Hal ini perlu kerana individu yang memperoleh kejayaan akademik akan lebih unggul dengan mempunyai sahsiah, budi pekerti dan perwatakan terpuji,” katanya. - DagangNews.com