Raja Zarith Sofiah: Puteri Perak dekat di hati rakyat kini bergelar Raja Permaisuri Agong | DagangNews Skip to main content

Raja Zarith Sofiah: Puteri Perak dekat di hati rakyat kini bergelar Raja Permaisuri Agong

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah - Gambar Instagram Raja Zarith Sofiah of Johor Foundation
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah merupakan puteri kerabat dari negeri Perak yang dekat di hati rakyat, sangat mementingkan aspek kebajikan dan pendidikan di negeri Johor.

 

Baginda yang diputerikan pada 14 Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah, Perak merupakan puteri kedua dan anakanda ketiga Almarhum Sultan Perak, Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Perak, Raja Perempuan Muzwin Almarhum Raja Dato' Sri Ariff Shah.

 

Raja Zarith Sofiah menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Datin Khadijah, Kuala Kangsar. Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kalsom, juga di Kuala Kangsar.

 

Pada September 1972, baginda melanjutkan pengajiannya di Cheltenham Ladies College di England sebelum meneruskan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Somerville College, University of Oxford pada 1979 sehingga menerima Ijazah Bachelor of Arts in Chinese Studies pada 1983.

 

Raja Zarith Sofiah juga mewarisi minat dan bakat seni ayahanda Baginda terutamanya dalam seni lukis. Baginda pernah menyertai beberapa pameran seni seperti pameran Galeri Seni Yayasan Warisan Johor (2003) dan pameran seni anjuran Maybank Kuala Lumpur yang memberi penghormatan kepada tiga generasi seniman Johor (2004).

 

 

agong

 

 

 

Baginda Tuanku Permaisuri juga merupakan seorang penulis yang prolifik dan pernah mempunyai ruang akhbar khusus iaitu ‘On Common Ground’ untuk New Straits Times dan ‘Mind Matters’ untuk The Star.

 

Sebelum itu, Baginda juga pernah menulis 4 buah buku kanak-kanak pada tahun 1995.

 

 

zarith

 

 

Raja Zarith Sofiah mendirikan rumah tangga bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1982 ketika Sultan Ibrahim bergelar Tunku Mahkota Johor dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu lima putera dan seorang puteri.

 

Anakanda baginda ialah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Tun Aminah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil (mangkat pada 5 Disember 2015 akibat kanser hati); Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

 

Raja Zarith Sofiah dikurniakan gelaran Permaisuri Johor sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim pada 23 Mac 2015.

 

Baginda juga banyak terbabit dalam organisasi amal dan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

Sebagai Canselor UTM, Baginda juga melancarkan program 'Because We Care Chancellor’s Fund' pada 17 Mac 2016, dalam menjaga kebajikan para pelajar golongan B40 di UTM.

 

 

zarith

 

 

Selain itu, Tuanku Permaisuri Agong adalah Penasihat Diraja kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Pengerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dan Pengerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

 

Baginda juga amat prihatin terhadap aspek kebajikan rakyat Johor, khasnya mereka di dalam golongan B40, dan telah mengilhamkan pelancaran program Bangsa Johor Bahagia pada 17 Mac 2019.

 

 

zarith

 

 

Baginda turut berkenan bekerjasama erat dengan pihak Johor Corporation dalam usaha badan korporat tersebut menaiktaraf kemudahan di Wad Hematologi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bagi kegunaan penjaga atau waris pesakit agar kebajikan mereka terpelihara.

 

Raja Zarith Sofiah juga melancarkan kempen 'TinDak' di bawah kelolaan Johor Women’s League (JEWEL) pada bulan Mei 2017, yang mana memfokuskan ke arah perlindungan kanak-kanak daripada penganiayaan serta gangguan seksual.

 

Komitmen dan usaha Baginda yang berterusan dan pelbagai ke arah menambah baik taraf hidup masyarakat telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Baginda dianugerahkan ijazah kehormat daripada University of Nottingham pada 2017.

 

 

zarith

 

 

Raja Zarith juga sering dijemput sebagai pengucaptama di persidangan akademik di dalam dan luar negara.

 

Terbaharu, Baginda menyampaikan ucaptama di Persidangan Meja Bulat OCIS-UTM bertemakan 'Imagining the Future: Climate Change, Health and Food Security in Muslim Societies' anjuran UTM dan Oxford Centre of Islamic Studies (OCIS) pada Mei 2023. - DagangNews.com